DUNGUN – “Saya menggigil
ketakutan apabila melihat otak tersembul di kepalanya,” kata Ramli Omar, 53,
yang menyaksikan rakannya maut ditimpa pokok di kawasan pembalakan di Kampung
Rantau Panjang, Jerangau, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.30 petang,
Hamiro Ramli, 33, dari Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan menebang balak apabila
tiba-tiba pokok tumbang lalu menghempapnya. ‘
Ramli yang bekerja sebagai
pemandu jentolak berkata, ketika kejadian, hanya dia dan mangsa berada di
kawasan atas bukit itu, manakala rakan setugas lain bekerja di kawasan bawah
bukit.
“Mangsa ketika itu menebang
sebatang pokok besar manakala saya berada di atas jentolak dan bersedia menarik
pokok ditebang mangsa.
“Sebaik pokok besar ditebang itu
mula tumbang, arwah berlari untuk menjauhkan diri. Bagaimanapun, sebatang pokok
berhampiran turut tumbang lalu menimpa mangsa,” katanya ketika ditemui di Bilik
Forensik Hospital Dungun, semalam.
Katanya, melihat kejadian itu,
dia turun dari jentolak untuk melihat keadaan mangsa, tetapi ketika itu mangsa
meninggal dunia dalam keadaan otak tersembul dan patah tangan kanan.
Seorang lagi rakan mangsa, Syukri
Yunus, 35, berkata, ketika berehat tengah hari kelmarin, arwah berkelakuan
pelik apabila naik ke beberapa kawasan berbukit di tempat kerja untuk mencari
isyarat telefon.
“Saya bertanya dia buat apa dan
dia jawab mahu cari isyarat telefon kerana teringin benar bercakap dengan
isteri dan anaknya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah
Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima
laporan kejadian itu.
Sumber : Harian Metro