Bazar Ramadhan: Kalau Kita Kena Begini, Kita Marah Tak?

Teruk Azwan Ali dihentam kerana komennya dianggap keterlaluan apabila menyamakan juadah bazar ramadan dengan sampah.

Tapi jika diletak tepi bahasanya yang celupar, ada juga kebenaran pada rungutan Azwan walaupun tak semua peniaga bazar ramadan melakukannya.

Ada sesetengah peniaga dilihat mementingkan keuntungan semata-mata hingga tergamak menjual makanan dan kuih muih yang mungkin mereka sendiri tak tergamak jamah.

Harga juadah sekarang pun bukannya murah, sepatutnya ia sudah cukup untuk mendatangkan keuntungan – tak perlulah dikurangkan lagi kualiti makanan semata-mata mahu untung lebih. 

Bukankah keberkatan lebih penting walaupun untungnya tidak sebanyak diraih orang tamak?

Mentang-mentanglah yang membeli tak dapat merasa sebab puasa, janganlah itu dijadikan alasan bila pulang makanan yang sepatutnya mengalas perut selepas seharian lapar rupanya sudah basi atau ‘lupa’ ditaruh gula dan garam.


Peniaga Bazar Ramadan: Karipap Inti Angin, Siapa Tak Marah?

Contohnya gambar yang dikongsikan pengguna Facebook ini, bila diletak depan cahaya dapat dilihat inti yang dimasukkan dalam karipap cuma secuit kentang, selebihnya angin semata-mata.

Kepada peniaga bazar ramadan di luar sana, sebelum marah pada rungutan orang ramai cubalah letakkan diri anda dalam kasut pengguna.

Bagaimana kalau yang terkena adalah anda sendiri, mesti hati pun panas kan?

Sumber: Mynewshub.my