Bekas AJK PAS Dipecat Nekad Takkan Pulang Ke Malaysia


Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Ulama PAS Pusat yang berjuang di Syria, Mohd Lofti Ariffin berpesan kepada abangnya seminggu sebelum berangkat ke Syria bahawa dia tidak akan pulang lagi ke Malaysia.

Abang Sulung Lofti, Mohd Zainon Ariffin berkata, dia percaya adiknya pergi tanpa pengetahuan sesiapa dan tindakan itu telah mencemar namanya sendiri yang pernah memegang jawatan sebagai AJK PAS Pusat.

“Dia pergi tanpa pengetahuan sesiapa. Jika dilabel bekas pejuang Mujahidin di Afghanistan, itu saya boleh terima. Tetapi tuduhan itu berniat untuk jejaskan nama baik dia.

“Saya antara orang terawal yang tahu, itu pun seminggu sebelum dia berangkat. Walaupun tidak diberitahu secara jelas, naluri saya merasakan dia akan pergi senyap-senyap.

“Tidak sangka 31 Januari lalu, jam 12.30 tengahari, dia datang berjumpa buat kali terakhir,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Sebelum ini, Lofti dalam satu kiriman yang dihantar melalui Facebook pada Khamis lalu mendakwa telah melepaskan semua jawatan yang disandang di dalam PAS sejak 19 April yang lalu sebelum dipecat oleh parti itu.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Dato’Mustafa Ali mengumumkan Lofti telah dipecat pada 11 Mei yang lalu setelah parti mendapat tahu dia terlibat dengan kumpulan militan yang berjuang di Syria.

PAS memegang pendirian menegaskan bahawa gerakan segolongan umat Islam di Syria yang mengangkat senjata menentang kezaliman Bashar Al-Asaad di sana sebagai kumpulan militan dan ganas.

Menurut Zainon, 53, berkata Lofti telah membuat kajian mengenai perjuangan yang dilakukan oleh kumpulan tersebut selama tiga tahun sebelum berangkat ke Syria dan  dia tidak pernah berkempen untuk mengajak ahli keluarga serta sahabat menyertainya di sana.

“Sebenarnya Lotfi tidak lagi pentingkan soal keahlian dalam parti kerana fokusnya kini adalah berjihad. Dia tidak akan kembali ke Malaysia.

“Yang penting PAS tetap berdiri teguh dan dirinya selamat di Syria,” katanya kepada media yang kesal dengan pihak tertentu sering mengeksploitasi perjuangan adiknya di negara bergolak itu.-KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor