Belanda Beri "Last Warning" Pada Putin Di Rusia



Susulan nahas pesawat MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) yang mengorbankan paling banyak warga Belanda, kerajaan negara itu tegas dan memberikan amaran terakhir kepada Presiden Russia Vladimir Putin.

Perdana Menteri Belanda Mark Rutte mahu Putin menggunakan pengaruhnya seperti dijanjikan dengan memberikan akses serta jaminan keselamatan ke lokasi di mana MH17 terhempas.

Pesawat itu dipercayai telah ditembak jatuh oleh gerakn pemisah Ukraine yang pro-Russia serta menguasai kawasn timur Ukraine di mana bangkai pesawat MH17 telah terbiar selama berhari-hari sejak terhempas Khamis lepas.

Menurut laporan Dutch News, Rutte berkata Putin “hanya ada satu peluang akhir” untuk menunjukkan beliau serius membantu pasukan penyelamat mengambil mayat mangsa nahas itu.

“Suhu di sana 35 darjah selsius. Mayat-mayat itu mesti diambil segera. Saya mahu tengok hasil, akses yang tidak terhalang dan pemulangan mangsa-mangsa itu,” katanya seperti dilaporkan portal berita itu.

Rutte memberikan peringatan itu selepas ada berita bahawa pemberontak pro-Russia telah mula memindahkan 38 mayat dari lokasi nahas.

Kerajaan Ukraine dalam satu kenyataan mendakwa pemberontak itu, dengan dibantu oleh Russia cuba memusnahkan bukti yang mungkin mengaitkan mereka.

Ukraine menuduh pesawat tersebut ditembak jatuh oleh pemberontak yang memperjuangkan kemerdekaan daripada negara itu. Kumpulan pemberontak yang didukung oleh Rusia itu sebaliknya menuduh tentera Ukraine bertanggungjawab.

Beliau juga menyelar tindakan pemberontak yang menguasai lokasi nahas kerana dilihat mula membenarkan sesiapa sahaja untuk meninjau lokasi, menggeledah barangan peribadi penumpang dan ia dicuri.

Rutte menggelarkan tindakan itu sebagai ‘menjijikkan’.

Laporan itu juga menyebut, Menteri Luar Belanda Frans Timmermans telah bertemu Presiden Ukraine, Petro Poroshenko di Kiev sebelum sidang media berkenaan memberitahu presiden itu, rakyat Belanda sedang ‘marah dan berang’ dengan berita perlakuan puak pemberontak ke atas mayat mangsa.

“Apabila ada bukti, kami tidak akan berhenti sebelum mereka yang terlibat dibawa ke pengadilan. Bukan saja mereka yang melepaskan tembakan tetapi mereka yang membenarkan ini berlaku.

“Saya fikir masyarakat antarabangsa perlu meningkatkan usaha dalam hal ini,” katanya menurut laporan agensi berita Reuters pula.

Stesen penyiaran Nos pula melaporkan Poroschenko dalam reaksi balasnya memberitahu tindakan pemberontak tidak membenarkan penyiasat asing masuk ke zon nahas adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

Puak pemberontak bagaimanapun menafikan mereka campur tangan dalam siasatan sebaliknya mengatakan sudah berjanji kepada Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) bahawa mereka tidak akan menyentuh mayat atau serpihan pesawat.

Sekurang-kurangnya pasukan petugas dari Belanda, Ukraine dan Malaysia sudah bersiap sedia untuk memulakan operasi di lokasi kejadian. Laporan juga menyebut pakar forensik dari Jerman dan Britain juga telah tiba di Ukraine.

Malaysia Airlines pada Sabtu mendedahkan senarai penuh penumpang dan anak kapal. Pesawat penerbangan MH17 itu membawa 298 orang dengan 193 daripadanya disahkan oleh Malaysia Airlines sebagai warga Belanda.

“Saya fikir semua penduduk negara ini kenal siapa-siapa dalam pesawat itu, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Daripada 193 warga Belanda itu, 80 daripadanya berumur di bawah 18 tahun. Daripada 80 orang itu, 23 daripadanya berumur di bawah 12 tahun dan 3 lagi bayi.
 
Sumber: Mynewshub.my