KOTA BAHARU – Jawatankuasa Teknikal Peringkat Pusat yang diwujudkan
bagi mengkaji pelaksanaan hukum hudud atau Enakmen Kanun Jenayah Syariah
II 1993 di Kelantan, dijadual mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata
mesyuarat berkenaan akan diadakan selepas perjumpaan dengan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Putrajaya.
“Esok (hari ini) delegasi seramai lapan orang wakil dari Kelantan yang termasuk
saya sendiri akan ke Putrajaya untuk berjumpa Datuk Seri Jamil Khir
Baharom.
“Selepas kunjungan itu, akan diadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa
Teknikal Peringkat Pusat dan enam wakil daripada kita akan menyertai
mesyuarat itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan
Sumbangan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri kepada Pasukan Keselamatan di
sini, semalam.
Pada majlis itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob
menyampaikan sumbangan Kuih Muih kepada 12 pasukan keselamatan antaranya
Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan
Penyelamat Kelantan (JBPM) dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP)
Kelantan.
Pada 2 Mei lepas, Jamil Khir berkata sebuah jawatankuasa teknikal di
peringkat pusat ditubuhkan bagi mengkaji pelaksanaan Undang-Undang
Jenayah Syariah di Kelantan.
Kerajaan pusat menubuhkan jawatankuasa itu setelah PAS mahu
membentangkan Rang Undang-undang Persendirian (hukum hudud) di Parlimen
bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II
1993.
Pembentangan rang undang-undang persendirian itu bertujuan
mendapatkan kebenaran melaksanakan hukum hudud itu seperti yang
diperuntukkan Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan. – BERNAMA