Blogger Padi Jantan Dibebas Dengan Jaminan Polis

Alor Setar, 21 Julai – Blogger dan Pengguna Facebook (FB), Padi Jantan yang ditahan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir dan Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Dato’ Syed Unan Masri Syed Abdullah, telah dibebaskan semalam dengan jamin polis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata suspek yang berusia 37 tahun  telah dibebaskan semalam setelah tempoh tahanan reman kepada blogger itu berakhir semalam.

"Kita sudah rakaman keterangannya...walaupun dia dibebaskan, siasatan kes itu masih berjalan dan kita akan ambik kira semua sudut dalam siasatan," katanya ketika melancarkan Ops Selamat peringkat negeri, di sini.

Sebelum ini, seorang pemilik akaun Facebook (FB), ‘Padi Jantan’ telah mengeluarkan beberapa kenyataan di laman sosialnya yang mahu menembak kedua-dua pemimpin ini sekiranya dibekalkan pistol serta peluru.

Suspek telah ditahan di Shah Alam sebelum dibawa ke Alor Setar untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah. -KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor