Anak diwajibkan mentaati dan
menggembirakan hati ibu pada setiap masa. Alangkah beruntungnya ibu yang
sentiasa didoakan kesejahteraan oleh anaknya seperti mana ibu yang tidak pernah
putus mendoakan kebaikan kepada anaknya.
Doa ibu mustajab sementara bagi
hubungan ibu dan anak tidak akan terputus, malah yang kekal bagi ibu adalah doa
anaknya walaupun selepas ketiadaannya nanti.
Dunia ini hanya persinggahan
sementara, tetapi amalan kita berkekalan hingga ke akhirat. Justeru, pastikan
setiap amalan khususnya yang dapat menggembirakan hati ibu dilaksanakan secara
istiqamah.
Firman Allah SWT:
“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungkannya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam tiga puluh bulan.” (Surah al-Ahqaf, ayat 5)
Berkorban untuk ibu
Ibu sanggup berkorban harta dan
nyawa untuk anak dan sepatutnya, begitu jugalah anak berkorban untuk ibu.
Khususnya kepada yang sudah bergelar ibu, pasti memahami perasaan ibu yang kini
sedang melalui usia tua mereka.
Firman Allah SWT: “Dan kami
wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah
mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan
menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungkannya berserta dengan tempoh
menceraikan susunya ialah dalam tiga puluh bulan.” (Surah al-Ahqaf, ayat 5)
Anak lelaki lebih-lebih lagi
perlu memainkan peranan mereka kerana tanggungjawab memelihara kebajikan ibu
bapa tidak terputus walaupun selepas mereka berumah tangga. Perkara ini sering
dipandang remeh golongan lelaki.
Seorang anak soleh akan cuba
menjadi suami yang baik dan pada masa sama, mengekalkan status anak yang taat
kepada ibu bapanya. Janganlah mereka termasuk dalam golongan yang sanggup
membuang ibu bapa kerana mementingkan diri.
Jika suami adalah anak yang taat,
semestinya isterinya akan menjadi menantu solehah hasil didikan suami. Isteri
juga diingatkan supaya tidak menghalang suami taat kepada ibu bapa mereka
sebaliknya perlu faham kedudukan suami serta tanggungjawabnya terhadap
kedua-dua orang tuanya.
Banyak kisah mengenai anak
derhaka dipaparkan dan dijadikan plot drama sebagai peringatan kepada anak
supaya tidak melakukan penderhakaan yang serupa. Jadikan kisah sedih itu
sebagai pengajaran supaya kita terselamat daripada kemurkaan Allah SWT.
Tidak dinafikan tuntutan tugas
ada kala menjadi penghalang kepada anak untuk menziarahi ibu bapa, tetapi
hubungan mesra masih boleh dijalinkan melalui komunikasi yang canggih.
Manfaatkan kehebatan teknologi untuk memastikan hubungan kekeluargaan
berkekalan.
Ramai menyatakan setiap hari
adalah hari ibu, tetapi realitinya, tidak semua berkesempatan meraikan ibunya
setiap hari terutama bagi yang sudah mempunyai keluarga sendiri. Maka, tidak
salah jika hujung minggu atau kesempatan pulang ke kampung dijadikan hari
istimewa menghargai ibu.
Berkumpul pada hari istimewa
seperti sambutan hari ulang tahun kelahiran ibu juga boleh menjadi hari
istimewa seluruh ahli keluarga. Banyak cara untuk menghargai ibu dan anak perlu
kreatif membuatkan ibu berasa diri istimewa serta sentiasa dihargai.
Tiada alasan tidak membahagiakan ibu
Kesimpulannya, tidak ada alasan
untuk tidak membahagiakan ibu kerana hendak seribu daya, tidak hendak,
banyaklah dalihnya. Jika anak tahu besarnya pahala hanya menatap wajah ibu,
pasti mereka akan sentiasa mencari peluang menziarahi ibu mereka.
Jangan jadikan kerjaya sebagai
penghalang kerana kebahagiaan serta doa ibu boleh menyumbang kepada kebahagiaan
dan kejayaan seseorang anak.
Sumber : Berita Harian