Budak UM Tunjuk Perangai "Intelektual" Petang Ini...

KUALA LUMPUR – Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) mahu mengadakan protes di universiti itu bagi membantah peletakan jawatan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (Umcedel) oleh Datuk Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman, hari ini.

Presidennya, Lee Jin Yang berkata, protes secara besar-besaran pelajar UM tersebut akan diadakan di hadapan Pintu KL UM pada 4 Julai 2014 bermula pukul 2.45 petang.

“Peletakan jawatan Mohammad Redzuan sebagai Pengarah Umcedel merupakan suatu tragedi kebebasan akademik. Justeru, dukacita dimaklumkan bahawa organisasi gerakan mahasiswa UM termasuk Pro-Mahasiswa(Pro-M), Umany and GMMA/174 akan mengadakan suatu protes bagi menegakkan kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Naib Canselor UM, Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaluddin semalam bagaimanapun menafikan dakwaan penamatan tugas Mohammad Redzuan selaku Pengarah Umcedel kerana campur tangan politik.

Beliau sebaliknya berkata, keputusan itu mengambil kira persaraan Mohammad Redzuan, 59, tahun hadapan.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi memberi timbalan Mohammad Redzuan, Dr. Amir Saifude Ghazali satu peluang untuk membiasakan dirinya dengan tanggungjawab selaku pengarah pusat kajian itu.

“Pihak pengurusan ingin menyatakan keputusan ini dibuat mengikut kepentingan universiti dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sebarang bentuk tekanan daripada pihak luar,” tegas Mohd. Amin.

Sumber:  Mynewshub.my