Bukan Hak Anwar Tentrukan Siapa MB Selangor - Pemuda Gerakan


KUALA LUMPUR – Pemuda Gerakan menyelar Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengumumkan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bakal Menteri Besar Selangor yang baharu.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, Anwar tidak sepatutnya membuat pengumuman Wan Azizah akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar negeri itu.

“Menurut Artikel 53 (2) (a) dalam Perlembagaan Negeri Selangor, perlantikan Menteri Besar Selangor adalah hak Sultan Selangor dan atas budi bicaranya untuk menentukan siapa di dalam Dewan Undangan Negeri yang mempunyai sokongan majoriti

“Oleh itu pelantikan Menteri Besar Selangor bukan hak PKR ataupun Anwar,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Keng Liang melahirkan rasa kesal ke atas Anwar melanggar prinsip Perlembagaan Selangor dan membuat suatu perkara yang biadap ke atas Sultan Selangor.

“Pemuda Gerakan menggesa PKR dan Anwar menghormati prinsip Perlembagaan Selangor,” katanya.

Media kelmarin melaporkan PKR menamakan Wan Azizah yang juga Presiden parti itu sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Abdul Khalid yang memegang jawatan itu sejak 2008.

Keputusan itu diumumkan pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini selepas mesyuarat majlis pimpinan pusat parti.


Sumber: Mynewshub.my