Bukit Aman Buru Pensyarah UM Suspek Militan


Bahagian Anti Keganasan, Cawangan Khas Bukit Aman memburu lima individu termasuk seorang pensyarah Universiti Malaya kerana disyaki terbabit dalam kegiatan militan di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan Bukit Aman sebentar tadi, memberitahu tiga daripada mereka disyaki sebagai individu yang merekrut dan mengatur pemergian anggota militan dari Malaysia untuk menyertai perjuangan kumpulan Islamic State of Iraq and The Levant (ISIL) di Syria.

“Dua lagi disyaki menganggotai kumpulan Darul Islam Sabah yang kini menyertai kumpulan Abu Sayyaf (ASG) di selatan Filipina,” katanya.

Lima individu berkenaan adalah, Dr Mahmud Ahmad, 38, yang bertugas sebagai Pensyarah Fakulti Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya; Mohd Najib Husen, 36, berasal dari Petaling Jaya dan memiliki kedai fotostat dan alat tulis di universiti sama dan seorang kakitangan Jabatan Urusetia Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Muhammad Joraimee Awang Raimee, 39.

Manakala dua individu yang disyaki menganggotai kumpulan Darul Islam Sabah dikenali sebagai Mohd Amin Baco, 31, seorang penganggur dan Jeknal Adil, 30, bekerja sebagai buruh kasar. Kedua-duanya berasal dari Tawau, Sabah.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Hazil Azhar di talian 03 22667010 atau 011 21046850 atau emel ke ctd.e8m@gmail.com atau mana-mana balai polis berhampiran. 

Sumber: Berita Harian