Cabar Buat 13 Mei Sekali Lagi, Timbalan Guan Eng Mungkin Diheret Ke Balai...

Balik Pulau – Pihak Berkuasa di Pulau Pinang sedang mempertimbang untuk mengheret Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy ke balai polis untuk membatu siasatan berhubung kenyataannya yang berbaur hasutan baru-baru ini.
 
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, setakat ini pihak polis telah menerima tiga laporan dari orang ramai berhubung dakwaan kenyataan Ramasamy yang mampu menyebabkan rusuhan antara kaum itu.

Beliau memberitahu bahawa dua daripada laporan itu telah dibuat di Kuala Lumpur manakala satu lagi dilakukan di Kepala Batas, semalam, dan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan 1948 bagi kes berkenaan.

"Kami akan teliti laporan berkenaan dan akan mempertimbang untuk memanggil Timbalan Ketua Menteri II itu memberi kenyataan bagi membantu siasatan," jelasnya kepada media selepas Majlis Ihya Ramadan bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini malam tadi.

Sementara itu, Abdul Rahim juga meminta semua pihak supaya tidak membuat spekulasi liar yang boleh mengeruhkan lagi keadaan yang ditimbulkan Ramasamy dan memberi ruang kepada pihak berkuasa itu untuk menjalankan siasatan seadilnya.

Ramasamy didakwa mengeluarkan kenyataan itu Isnin lepas ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa peristiwa rusuhan kaum mungkin berulang sekiranya perpecahan antara kaum tidak dibendung di Malaysia. -KedahNews.com