Cadbury Minta Panel Syariah Bebas Pantau Proses Produk



SHAH ALAM – Sebuah panel syariah bebas telah dibentuk atas permintaan Cadbury Confectionary Malaysia bagi memantau secara lebih teliti proses penghasilan coklat syarikat itu bagi menghapus keraguan status halalnya.

Ketua Hal Ehwal Korporat Mondelez Malaysia, pengeluar produk berkenaan, Raja Zalina Raja Safran memberitahu pemberita hari ini, usaha memanggil panel syariah itu adalah langkah proaktif untuk meyakinkan kembali umat Islam terutama penggemar coklat Cadbury di negara ini.

Panel syariah bebas itu terdiri daripada Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadut; Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Zaharuddin Abd Rahman; pendakwah bebas Mohd Shukri Ali; dan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Ma’amor Osman.

Pada Mei lepas, satu laporan memetik Kementerian Kesihatan mengesan ‘porsin’ atau DNA khinzir dalam dua jenis coklat syarikat itu.

Bagaimanapun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kemudian menyatakan dua sampel produk itu diambil terus dari kilang disahkan tidak mengandungi DNA khinzir oleh Jabatan Kimia. – BERNAMA