Carmen Soo Ucap Takziah Kepada Sharifah Amani?


Kuala Lumpur, 7 Julai – Model dan pelakon, Carmen Soo, 37, yang mengucapkan takziah kepada pelakon Sharifah Amani mencetuskan suasana yang agak melucukan di laman sosial Twitternya semalam.

 Soo yang ingin menyampaikan salam takziah terhadap biduanita negara, Dato Sharifah Aini telah menulis status takziah kepada individu lain iaitu pelakon Shahrifah Amani.

"RIP (rest in peace) Sharifah Amani (berehat dengan aman Sharifah Amani)," tulisnya dalam status Twitter kira-kira pukul 8 malam Ahad.

Status yang ditulis oleh Soo telah mendapat perhatian daripada pelakon itu dengan membalas mesej Twitter yang telah dimuatnaik dengan berkata, ‘Weh! I’m stil alive and Twitting lah.’ (Weh! Saya masih hidup dan bertwitterlah).


Akibat dari kesilapan itu, Soo kemudiannya telah memohon maaf atas kesilapannya dan memberitahu maksud sebenar status yang dimuatnaik adalah bertujuan mengucapkan takziah kepada Sharifah Aini.

Sharifah Amani tidak mahu mengambil serius status yang telah dimuatnaik itu dan beranggapan tindakan Soo satu perbuatan yang tidak disengajakan.

Apa yang menarik perhatian KedahNews.com, tindakan Soo yang tidak disengajakan itu telah mendapat perhatian daripada pengikutnya yang telah melakukan lebih 400 ulang Twit (retweet) ke atas status tersebut.

Laman sosial Twitter Soo mempunyau kira-kira 357,00 orang pengikut.


Sharifah Aini meninggal dunia pada Sabtu lalu akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah fibrosis paru-paru. -KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor