DAP Kedah Anggap Zairil Penipu Besar

DAP Kedah menegaskan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Interim DAP Kedah, Zairil Khir Johari sebagai pembohong dan sengaja mengelirukan semua ahli DAP di negeri itu.

Pengerusinya, Lee Guan Aik berkata, Zairil menipu apabila menyebarkan dakwaan kononnya hanya lapan cawangan DAP sahaja yang layak mengundi dalam pemilihan parti itu sedangkan jumlah tersebut tidak benar sama sekali.

Katanya tindakan Zairil itu menafikan hak cawangan-cawangan DAP Kedah yang lain untuk mengundi.

Zairil sebelum itu memaklumkan kepada media bahawa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) DAP Kedah yang dijadualkan pada 11 Julai (esok) adalah tidak sah dengan alasan tidak memaklumkan berkenaan mesyuarat itu terlebih dahulu kepada DAP Pusat selain tidak mematuhi prosedur perlembagaan parti.

Guan Aik menjelaskan bahawa pihak DAP Kedah telah memaklumkan kepada DAP Pusat mengenai mesyuarat itu dalam suratnya yang bertarikh 28 Mac lalu, namun ibu pejabat parti itu gagal memberi sebarang jawapan terhadap makluman tersebut.

Justeru itu katanya, DAP Kedah telah menetapkan tarikh 11 Julai ini untuk menjalankan AGM negeri Kedah.

Selain itu, Pengerusi DAP Kedah itu juga menegaskan bahawa arahan CEC yang digunapakai Zairil itu juga tidak sah memandangkan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) masih belum mengiktiraf barisan CEC yang terpilih pada pemilihan jawatankuasa itu.

Guan Aik juga mengulangi cabaran terhadap Zairil supaya mengheretnya ke jawatankuasa disiplin parti sekiranya menganggap DAP Kedah telah melanggar perlembagaan parti tersebut. -KedahNews.com