PUTRAJAYA – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor merayu
supaya Konstabel Zakia Aleip yang dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata
di sebuah resort di Pulau Mabul Sabtu lepas, dikembalikan kepada
keluarganya.
“Saya sebagai ibu dan isteri memahami perasaan isteri Zakia. Saya
merayu kepada kumpulan penculik itu ingatlah konstabel mempunyai anak
dan isteri.
“Jangan sebab hendak kepuasan diri sampai sanggup melakukan
penculikan tersebut,” katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian
sumbangan kepada keluarga dan waris Perwira Negara Lahad Datu, kru
pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas dan
keluarga anggota tentera di sini, Selasa.
Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga
Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) meminta isteri Zakia
serta rakyat Malaysia supaya terus mendoakan anggota polis itu dapat
pulang dengan selamat bagi menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang.
Insiden serang hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Mabul Water
Bungalow Resort, Pulau Mabul di Semporna, Sabah Sabtu malam lepas
mengorbankan anggota Pasukan Polis Marin Koperal Ab Rajah Jamuan, 32,
manakala rakan setugasnya Zakia, 26, dilarikan.
Pada Isnin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan
Zakia ada menghubungi isterinya, Sharifah Erna Berson pada Ahad malam
memaklumkan beliau masih hidup dan kini berada bersama beberapa orang.
Pada majlis itu, Biro Kebajikan Umno dan Bakti menyampaikan sumbangan
berjumlah RM290,00 kepada 39 orang termasuk balu, waris serta anggota
polis dan tentera yang cedera.
Pengerusi Biro Kebajikan Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
berkata masing-masing menerima sumbangan antara RM5,000 sehingga
RM20,000 manakala balu mangsa serang hendap di Pulau Mabul serta dua
balu insiden kereta perisai terbalik di Kuala Kangsar, Perak
masing-masing menerima RM20,000.
Sementara itu ketika diminta mengulas pertemuan beliau dan Rosmah
dengan waris kru MH370 selepas majlis itu, Abdul Azeez berkata mereka
meminta dua perkara, pertama supaya bantuan kewangan diberikan tidak
diumumkan untuk mengelakkan keselamatan tergugat.
Perkara kedua adalah supaya semua filem tentang insiden kehilangan
pesawat MH370 tidak ditayangkan kerana ia akan menyentuh sensitiviti
waris kru kerana perkara sebenar yang berlaku pada pesawat itu masih
tidak diketahui, katanya. – BERNAMA