Alor Setar, 8 Julai - Kebanyakan penduduk tempatan di Pekan Simpang Kuala, dekat sini, mendakwa berasa terancam dengan kehadiran seorang lelaki dipercayai tidak siuman.
Difahamkan, dia bukan hanya bertindak agresif ‘ala samseng’, malah sering kali menyerang masyarakat setempat secara tiba-tiba sehingga mencederakan mereka.
Mangsa, Jamaludin Mahmud, 66, berkata, dia mengalami kecederaan parah di bahagian paha kanan apabila diserang lelaki berkenaan di Medan Selera Simpang Kuala, dekat sini.
“Malah, dia turut menumbuk muka saya. Kejadian berlaku, apabila saya menanyakan lelaki terbabit bilakah ingin membayar bil makanannya pada 23 Jun lepas.
"Ia berikutan, dia sering menjamu selera secara percuma di rata-rata kedai dalam medan selera sehingga menyebabkan peniaga menanggung kerugian kerana pelanggan lari.
“Tanpa disangka-sangka, dia mencederakan saya sehingga terpaksa ditahan di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini selama 12 hari, malah perlu menjalani pembedahan,” katanya.
Manakala, Manap Mat, 80, berkata, dia pula mengalami kecederaan pada beberapa bahagian termasuk kepala dan dada akibat diserang lelaki berkenaan.
“Mujur, saya diselamatkan orang lalu lalang. Itu pertama kali, saya melalui detik cemas sedemikian sepanjang hidup ini, malah kesakitannya masih terasa,” katanya.
Bimbang situasi lebih buruk berlaku, Manaf terpaksa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar kerana bimbang kejadian sedemikian berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Simpang Kuala, Zakri Hassan berkata, pihak polis sudah menahan lelaki berkenaan beberapa kali.
Difahamkan, anggota polis menghantar lelaki berkenaan ke wad psikiatri setiap kali menerima aduan penduduk tempatan, namun ia kemudiannya dilepaskan.
Justeru, katanya, mereka merayu lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan untuk menerima rawatan terbaik, sekali gus membolehkan penduduk menjalani kehidupan tenteram.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, pihaknya akan menahan individu dipercayai kurang siuman yang mencetuskan suasana panik sedemikian.
Namun, katanya, sebaiknya mana-mana individu berkenaan diserahkan kepada pihak hospital, malah dia berada di bawah tanggungjawab mereka untuk tindakan selanjutnya.
Sumber : Sinar Harian