Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata
kegiatan memberi makan kepada golongan miskin tidak menyebabkan kawasan
bandar Kuala Lumpur menjadi kotor.
Kenyataan itu umpama menyangkal apa yang dikatakan oleh Menteri
Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang
mengatakan aktiviti pemberian makanan oleh pertubuhan bukan kerajaan
(NGO), PERTIWI boleh mengakibatkan kekotoran.
Menurut Khairy Jamaluddin, beliau pernah melihat sendiri operasi
PERTIWI yang sentiasa menjaga kebersihan ketika memberi makanan kepada
golongan itu.
Amalan itu juga ditunjukkan oleh Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda Umno, katanya dalam tulisan di Facebook.
“NGO ibu dan ibu saudara saya, PERTIWI, sudah lama mengendalikan soup kitchen. Sama juga dengan SHEB Pemuda Umno dan NGO lain.
“Yang pernah saya sendiri melihat, sukarelawan PERTIWI
sentiasa menjaga kebersihan kawasan di mana mereka membuat program
pemberian makanan,” katanya lagi menurut laporan Malaysiakini.
Beliau seterusnya berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak
akan membasmi golongan miskin itu dari pandangan umum, tetapi terus
bekerjasama untuk membantu usaha NGO berkenaan.
“Harap DBKL memberi kerjasama kepada NGO seperti ini untuk meneruskan kerja amal mereka.
“Tumpuan perlu diberi untuk membasmi kemiskinan. Bukan untuk menghapus orang miskin dari pemandangan orang ramai,” katanya.
Tengku Adnan dalam satu laporan Astro Awani semalam mendakwa,
kegiatan memberi makan kepada golongan itu menyebabkan kawasan sekitar
Kuala Lumpur menjadi kotor.
“Ini kawasan tumpuan pelancongan, saya tidak mahu kawasan ini jadi
kotor, banyak tikus, ada surat khabar luar negara labelkan Kuala Lumpur
sebagai Bandaraya Tikus,” katanya lagi.
Dalam kenyataannya di Facebook hari ini, Tengku Adnan berkata masalah
golongan gelandangan tersebut “menyumbang terhadap masalah kebersihan
di Kuala Lumpur khususnya lokasi tumpuan pelancong.”
“Mereka tidur di tempat yang tidak sesuai di sekitar bandar raya
Kuala Lumpur dalam persekitaran yang tidak bersih dan terdedah kepada
penyakit berjangkit,” katanya.
Sumber: MYNEWSHUB.MY