Guan Eng Marah Bekas Ketua Hakim Bela Islam Di Pulau Pinang?

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menuduh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamed, sebagai "penipu, rasis dan ekstrimis" kerana menuduh agama Islam semakin terancam di negeri di bawah pimpinannya.

Dalam kenyataannya di Parlimen baru-baru ini, Guan Eng mendakwa Kerajaan Negeri DAP Pulau Pinang itu menyediakan peruntukan lebih banyak berbanding ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu.

"Bekas Ketua Hakim hanya mendedahkan dirinya sebagai seorang rasis, ekstremis dan penipu. Dia kata kami abaikan Islam tapi buta untuk melihat yang kami sudah meningkatkan peruntukan kepada mereka.

"Malah, kami beri lebih banyak peruntukan kepada orang Islam berbanding BN," katanya yang dipetik dari laman media pro-pembangkang, The Malaysian Insider.

Tun Abdul Hamid dalam ucapan sebelum ini mendedahkan mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan kini semakin terancam di bawah pentadbiran DAP Pulau Pinang.

Ketua Hakim itu memetik kenyataan bekas Mufti Pulau Pinang yang mengadu tentang kehendak ramai golongan bukan Islam di Malaysia, khususnya di Pulau Pinang, yang mahu agama mereka diberikan status yang sama seperti mana kedudukan Islam di negara ini.

Selain itu, bekas Mufti juga membongkar dasar kepimpinan Guan Eng yang dikatakan susah mendapat peruntukan untuk aktiviti agama Islam di Pulau Pinang, kerana pemimpin agama lain juga menuntut hak yang sama.

“Jika kita tidak membendungnya, perkara seperti ini akan merebak ke seluruh Malaysia. Di waktu itu, waktu penyiaran rancangan-rancangan agama Islam di televisyen pun terpaksa dikongsi dengan agama-agama lain.

“Jabatan-jabatan kerajaan dan kampus-kampus universiti kerajaan yang menyediakan surau akan terpaksa menyediakan gereja, tokong dan gurdwara,” kata Abdul Hamid.

Ertinya, tambah beliau, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah tidak bermakna lagi.

Guan Eng dalam era kepimpinannya di Pulau Pinang turut dikaitkan melaksana dasar yang bersifat "chauvinis ultra-kiasu" dan sering dikatakan mengamalkan pentadbiran anti-Islam dan anti-Melayu. - KedahNews.com