PETALING JAYA – Pelakon Hanez Suraya mengakui ada pihak yang
memandang rendah terhadap perniagaan syampu jenama sendiri iaitu VLasy
yang baharu diceburinya dengan mengaitkan kontroversi-kontroversi yang
pernah dilalui sebelum ini.
Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abd Aziz, 28, berkata, dia
pelik dengan sesetengah masyarakat yang memandang hina dan suka
meletakkan hukum kepadanya sehinggakan perniagaan syampu itu turut
dipertikaikan.
“Mereka ini tidak boleh tengok kita senang. Ada sahaja yang nak
dihentamnya. Sepatutnya kita jangan memandang rendah kepada orang lain
yang ingin berusaha.
“Apa yang yang saya nampak golongan ‘keyboard warrior’ itulah
sebenarnya tidak ada kehidupan sendiri sehingga sibuk mencari salah
orang lain di laman sosial,” katanya kepada media baru-baru ini.
Bagaimanapun tambah Hanez, masih ada lagi peminat yang memberi
komen-komen positif mengenai produk syampu itu malah dia turut mendapat
tempahan berulang.
Sementara itu Hanez mengakui dia mula terfikir untuk menceburi bidang
perniagaan kecantikan rambut selepas bermuhasabah diri sejak pelbagai
kontroversi mengenai kisah cintanya timbul.
“Selepas pelbagai kontroversi timbul, saya sepikan diri buat
seketika. Banyak yang saya belajar lebih-lebih lagi mengenai perniagaan
produk-produk kecantikan. Sejak menjadi duta Aurawhite lagi saya sudah
berniat mahu mempunyai keluaran produk sendiri.
“Apa yang dah berlaku sebelum ini membuatkan saya lebih kuat untuk
teruskan hidup. Diakui memang isu yang timbul telah menggelapkan karier
saya tetapi tidak semudah itu untuk saya perlu diam. Jangan biarkan
orang tengok kita jatuh.
“Tuhan sentiasa ada di sisi kita. Biarlah apa orang nak cakap, satu
hari nanti orang akan tahu cerita sebenarnya. Lambat atau cepat sahaja,”
ujarnya.
Mengenai syampu VLasy, ia merupakan produk keluaran syarikat Hanez
sendiri iaitu H Estrella Beaute yang mempunyai campuran pati buah-buahan
dan tumbuhan bagi mengurangkan rambut gugur selain melebatkan rambut.
“Buat masa ini saya jual secara dalam talian (online) dahulu untuk
melihat sejauh mana pengguna kita menyokong produk-produk tempatan.
“Setakat ini, Alhamdulillah respons yang diberikan sangat positif,
cuma saya perlu kuatkan lagi daripada segi promosi produk,” tuturnya.
Sumber: mStar