Harith Iskander Berazam Kuruskan Badan Sempena Hari Jadinya Ke-43


Pelawak terkenal Harith Iskander menyatakan hasratnya yang mahu kelihatan lebih kurus dan langsing berikutan peningkatan usianya yang kini genap berusia 43 tahun.

Menurut Harith, dia sukar bermain dengan anak-anaknya kerana mudah berasa letih disebabkan masalah berat badan berlebihan.

“Sebelum berkahwin saya tidak menjaga diri saya dengan baik tetapi selepas mempunyai anak, kesedaran itu timbul dan apa yang saya lakukan ini (menguruskan badan) demi anak-anak.

“Hasrat saya kini hanya satu iaitu ingin kekal sihat selama mana yang boleh supaya dapat melihat anak-anak saya membesar sehingga dewasa,” katanya yang dipetik menerusi mStar.

Usaha Harith kini mula menampakkan hasil apabila dia berjaya menurunkan berat badan dari 122 kilogram (kg) kepada 98 kg sekarang.

Namun begitu, Harith masih lagi belum berpuas hati dengan berat badan terkininya dan berhasrat untuk menurunkan sebanyak 18 kg lagi untuk mendapatkan berat badan ideal bagi dirinya.


Sumber : MYNEWSHUB.MY