Dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari kem Mohamed Azmin Ali
bakal dikenakan tindakan disiplin ekoran "mulut celupar" mereka
mempertikai kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar
Selangor.
Dua pemimpin terbabit ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK),
Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Setiausaha Majlis Pimpinan PKR Selangor,
Amiruddin Shari yang kini masing-masing sedang disiasat Lembaga Disiplin
PKR kerana "kurang ajar" mendesak Khalid melepaskan jawatannya.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata,
pihaknya akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada dua pemimpin
berkenaan kerana mengeluarkan kenyataan terbuka berkaitan isu Menteri
Besar Selangor itu.
Seorang lagi pemimpin yang turut berhadapan tindakan sama ialah bekas Setiausaha Politik Abdul Khalid, Faekah Husin.
Surat tunjuk sebab diberikan kepada Faekah berikutan tindakannya
mempertahankan bekas bosnya daripada terus diserang daripada kedua-dua
penyokong setia Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR.
Sebelum ini Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil menggesa
Abdul Khalid melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor kerana
gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor.
Kenyataan Shamsul itu kemudiaanya turut disokong oleh Amiruddin yang
juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves yang menegaskan bahawa
jawatan Menteri Besar bukan hak mutlak Abdul Khalid.