Ibu Tunggal Mualaf, Anak OKU Tumpang Balai Hospital Sg Petani Perlu Bantuan @Suraya_Yaacob #KedahAmanMakmur

SUNGAI PETANI - Akibat tiada tempat penginapan, seorang mualaf berstatus ibu tunggal terpaksa menumpang di Balai Pelawat Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani yang digunakan pelawat untuk menunggu pesakit sejak sebulan lalu.

Siti Aishah Abdullah, 27, berkata, sebelum ini dia menumpang di rumah mertuanya di satu kawasan perumahan di bandar ini tetapi sejak kematian suami pada 2010, hidupnya menjadi terumbang-ambing.

Lebih malang, anak sulungnya, Muhammad Ali, 5, disahkan mengalami kecacatan yang dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) Pelbagai (Celebral Palsy) setelah mengalami demam pada usia enam bulan.

“Ketika anak saya berumur enam bulan, dia mengalami demam dan ketika itu beberapa masalah lain turut menyerang sehingga menyebabkan dia terlantar,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Siti Aishah, dia dibawa oleh rakan dan memeluk Islam pada 2012 di Perak serta menetap di sana untuk satu tempoh sebelum balik ke Sungai Petani.

Katanya, keinginan memeluk Islam adalah atas kerelaan dirinya sendiri dan disebabkan itu, dia tidak mahu menyusahkan keluarga mertua (bukan beragama Islam) serta ahli keluarga lain.

Beliau berkata, walaupun berhadapan pelbagai dugaan, hidupnya kita lebih tenang dengan jalan yang dipilih bersama agama Islam.

“Disebabkan anak yang sering sakit, saya sering ditahan wad dan baru sahaja dibenarkan keluar sejak sebulan lalu.

“Bagaimanapun, akibat tiada tempat yang ingin dituju saya memilih Balai Pelawat HSAH sebagai tempat berteduh.

“Saya tidak kisah tinggal di sini kerana lebih senang berulang-alik sekiranya berlaku kecemasan, tambahan pula anak perlu dibawa ke hospital setiap pagi dan malam untuk proses membuang kahak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Kerja Sosial Perubatan HSAH, Nurul Aswar Nasron berkata, pihaknya akan menyediakan bantuan suction machine (mesin penyedut kahak) dan ripple mattress (tilam khas) untuk keperluan Muhammad Ali.

“Penggunaan peralatan bantuan ini dapat membantu Siti Aishah bagi menguruskan anaknya yang perlu dibawa ke hospital dua kali sehari.

"Dengan adanya alatan ini, ibu kepada kanak-kanak OKU  ini boleh menguruskan sendiri proses berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat (Kanan) JKM Kuala Muda, Roshidah Ismail berkata, pihaknya akan menyelesaikan masalah penempatan Siti Aishah dan menyerahkan wang RM300 bagi Tabung Bantuan Segera ketika melawatnya semalam.

Katanya, pihaknya sedang merancang menempatkan Siti Aishah ke pusat pembelajaran bagi memantapkan ilmu agama Islam memandangkan beliau adalah saudara baru tanpa mengabaikan penjagaan anak OKU tersebut.

Sumber: Sinar Harian