KUALA LUMPUR – Keadaan trafik dilaporkan masih lagi perlahan di
Lebuhraya Utara-Selatan serta di Lebuhraya Karak petang ini dan laluan
kontra diaktifkan di kedua-dua lebuh raya berkenaan.
Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressway berkata di Lebuhraya
Utara-Selatan laluan kontra diaktifkan di Km 348.6 hingga ke Km 346.6
dari Ladang Bikam ke Bidor.
Katanya trafik masih lagi perlahan di Rawang ke Bukit Beruntung, Lembah Beringin hingga Bidor.
“Trafik juga perlahan dari Ipoh Selatan menuju ke Terowong Menora dan
Juru ke Seberang Jaya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula
berkata laluan kontra telah diaktifkan di Lebuhraya Karak bermula dari
Km 55.2 hingga Km 59.3.
“Trafik juga sesak dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) sehingga Plaza Tol Gombak,” katanya.
Beliau turut memberitahu trafik juga perlahan dari Bukit Tinggi sehingga Karak dan sebelum Plaza Tol Jabor.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian
bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di
www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman
Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – BERNAMA