Jadikan Aidilfitri Sebagai Ibadah Kita


Aidilfitri membawa maksud kembali kepada fitrah. Jelasnya apabila umat Islam selesai menunaikan ibadat puasa dengan sempurna segala rukun, syarat dan semangat Ramadan, maka mereka telah kembali kepada fitrah asal iaitu taatkan Allah SWT dalam semua keadaan.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, berkata matlamat puasa ialah untuk mewujudkan insan bertakwa dan sebagai manifestasi manusia bertakwa, mereka pasti sentiasa berusaha taat kepada Allah sepanjang masa.

Firman Allah SWT:
 “Wahai orang yang beriman. Diwajibkan kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183) 
Bertakbir agungkan Allah

Katanya, selepas sempurna ibadat puasa, Allah memerintahkan manusia supaya bertakbir sebagai tanda mengagungkan dan membesarkan Allah, Pencipta Yang Maha Agung.

“Takbir hari raya juga adalah sebagai suatu manifestasi kesyukuran atas nikmat petunjuk serta hidayah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa, suatu nikmat paling besar, tiada tolok bandingnya bagi seorang manusia,” katanya.

Beliau berkata, kefahaman urusan ibadat dan agama yang berteraskan al-Quran dan hadis sebeginilah yang sepatutnya dimiliki umat Islam kerana jika tidak, mereka akan kerugian saat penting dalam urusan agama serta kehidupan mereka.

Juanda berkata, ramai berpuasa tetapi puasa itu tidak merubah mereka menjadi insan yang baik kerana mereka tidak memahami matlamat puasa disyariatkan dan apabila hari raya, bukannya takwa dikekalkan, malangnya maksiat pula didahulukan.

Katanya, sambutan hari raya adalah ibadat kerana ia disyariatkan sebagai satu hari untuk umat Islam bergembira tetapi mestilah menurut lunas syariat dengan menjauhkan maksiat serta sambutan melalaikan.

Jika batasan agama dijaga sewaktu sambutan Aidilfitri, nescaya semangat ibadat itu akan wujud dan pahala bergembira akan diperoleh.

“Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda dapati penduduk Madinah mempunyai dua hari untuk bermain dan berpesta. Maka Nabi SAW ubah ia kepada dua hari perayaan ibadat iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

“Jelasnya, sambutan Aidilfitri yang disyariatkan Islam ialah hari bergembira dan berpesta tetapi dalam rangka ibadah dan takwa kepada Allah SWT,” katanya.
  
Perayaan ibadat

Beliau berkata, antara kesalahan sering dilakukan umat Islam semasa meraikan jihad serta kesungguhan mereka meningkatkan amal ibadat sepanjang Ramadan ialah menjadikan sambutan hari raya bercirikan maksiat, sedangkan sambutan raya adalah perayaan ibadat.

Maksiat dimaksudkan dalam bentuk pembaziran makanan dan minuman berlebihan, pakaian yang melampau dan mendedahkan aurat serta bercirikan ahli fasik. Maksiat dalam bentuk muzik melalaikan dan melampau.

Malah, ada juga lalai melaksanakan perintah agama seperti menjaga solat, tidak bersalaman dengan bukan mahram, masih bersangka buruk walaupun sudah bermaafan atau enggan memaafkan sesama saudara sedarah dan seagama.

Hidupkan semangat Aidilfitri

Juanda berkata, kesilapan yang sering berulang ini sewajarnya dibaiki supaya semangat sebenar Aidilfitri terjelma dan umat Islam perlu belajar menyambut hari perayaan ibadat bukannya menyambut dalam bentuk terikut adat serta acara sambutan dilakukan oleh agama lain.

Katanya, akibat kejahilan dan enggan belajar, sebahagian umat Islam silap cara dalam sambutan Aidilfitri yang akhirnya mereka tidak mendapat pahala daripada sambutan hari yang mulia ini.

Sementara itu, beliau mengakui istiqamah atau konsisten dalam menjaga ibadah bukanlah perkara mudah dilakukan kerana ia memerlukan hati yang kental untuk kekal menjadi insan yang baik. Sudah pasti nafsu dan syaitan akan sentiasa berusaha meruntun jiwa manusia untuk melakukan maksiat.

Perlu faham tujuan puasa

Beliau berkata, orang yang mahu mengekalkan momentum semangat iman dan akhlak sewaktu Ramadan perlu memahami tujuan puasa itu sendiri iaitu membina insan bertakwa yang dapat mengekalkan ketakwaan untuk 11 bulan seterusnya.

“Ramadan ibarat bengkel, tempat dan masa untuk mengecas bateri bagi bekalan setahun akan datang. Maka pastilah orang yang boleh mengekalkan momentum takwa ini adalah dari kalangan mereka yang bersungguh-sungguh beribadat sewaktu Ramadan.

“Mereka berpuasa, menahan lapar dan dahaga, mengawal kehendak syahwat mereka, menjaga perkara yang boleh merosakkan pahala Ramadan melalui kawalan terhadap mulut, mata, telinga dan seluruh anggotanya. Banyak melakukan Tarawih, qiyam Ramadan, sedekah, tadarus al-Quran.

“Jika insan ini boleh konsisten dalam sebulan, maka tabiat baik selama sebulan itu akan menjadi tabiat baru yang akan kekal dan sebati pada dirinya. Tetapi jika puasanya ala kadar, maka pasti hasilnya juga adalah ala kadar,” katanya.


Sumber : Berita Harian