JAIS Dikecam Lagi, Lakukan Tangkapan Selepas 5 Minit Pemantauan?


Petaling Jaya, 6 Julai – Selepas melakukan satu serbuan yang mencetuskan kontroversi di sebuah kuil di Petaling Jaya bulan lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)  sekali lagi dikecam kerana menangkap empat orang individu yang telah didakwa berkhalwat.

Salah seorang mangsa, Hanisha Abdul Rahman, 29, mendakwa telah ditahan oleh dua orang anggota JAIS pada 22 Jun lalu bersama pemandu, Muhammad Mukamil Nordin serta dua orang kakitangannya ketika mereka sedang sibuk berkemas untk berpindah rumah.

Mangsa yang merupakan pemilik di sebuah butik kecantikan berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumah bersama dua orang kakitangannya yang juga merupakan teman serumahnya manakala Muhammad Mukamil sedang menunggu di luar rumah.

"Saya terkejut kerana ditahan begitu saja tanpa diberitahu alasan kukuh, mereka datang terus kata yang kami ditahan kerana khalwat," katanya  pada sidang media, Petaling Jaya, Selangor.

Hanisha yang merupakan seorang ibu tunggal berkata, pihak JAIS memberitahu sudah membuat pemantauan selama lima minit sebelum bertindak menahan mereka.

"Pada mulanya saya tanya berapa lama kamu pantau kami, pegawai Jais itu berkata sudah lama namun apabila saya tanya lagi di balai polis kemudian, mereka kata hanya lima minit," kata Hanisha.

Menurut Hanisha lagi, selepas ditahan mereka kemudiannya telah dibawa ke balai polis dan diminta untuk ke pejabat JAIS pada 23 Jun sehari selepas ditahan.

"Di JAIS kami diarah mengisi borang dan memberi nama penjamin. Kami juga diarahkan membawa wang sebanyak RM3,000 seorang ketika perbicaraan.

"Namun saya membantah, bagaimana mereka boleh minta kami membayar wang sedangkan kami tidak bersalah. Saya dalam rumah ketika itu dan Mukamil di luar," katanya.

Peguam Latheefa Koya yang mewakili keempat-empat individu yang ditahan berkata, tindakan JAIS membuktikan penyalahgunaan kuasa dan anak guamnya tidak dibenarkan membela diri.

Latheeya berkata, melalui surat perjanjian dan jaminan tertulis peringatan untuk mangsa membawa wang sebanyak RM3,000 pada tarikh perbicaraan.

"Saya berpendapat Jais menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan Enakmen Jenayah Syariah Selangor .

"Perbuatan Jais ini amat memalukan dan mencemarkan nama Islam kerana kita tidak diajar untuk membuka aib orang, kita sepatutnya melindungi.

"Tidak ada istilah khalwat sebenarnya yang ada hanyalah berzina dan ia memerlukan empat saksi bagi mengesahkan perbuatan itu, langsung tiada elemen khalwat sebenarnya dalam Islam," katanya.

Latheefa berkata, dia mewakili anak guamnya menuntut Jais membatalkan tuduhan berkenaan dan  sekiranya gagal, mangsa akan bertindak memfailkan saman. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor