Shah Alam, 13 Julai - Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan sebuah pasar raya di sini menjual
ayam yang ditebuk leher dan disembelih tidak mengikut kaedah Islam.
Penolong Pengarah
Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Muhammad Naim
Mohd Aziz berkata, pihaknya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
dan Kepenggunaan telah memeriksa pasar raya berkenaan dan mendapati ayam yang
diperoleh dan dijualnya adalah halal dan mematuhi syarak.
"Kita mendapati
pembekal ayam ke pasar raya ini kesemuanya adalah pemegang sijil halal yang sah
dan tidak ada sebarang keraguan yang timbul.
"Justeru Jakim
ingin menasihati orang ramai supaya tidak ragu dan bimbang terhadap produk yang
dijual di pasar raya ini kerana ia mempunyai sijil dan logo halal yang disahkan
Jakim," katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan di pasar
raya berkenaan baru-baru ini.
Beliau berkata
pemeriksaan dibuat setelah pihaknya menerima laporan berhubung penyebaran foto
seekor ayam yang tersebar luas di Facebook Jumaat, yang ayamnya dikatakan
ditebuk di bahagian leher dan tidak disembelih mengikut kaedah Islam.
Sumber : Mstar