KUALA LUMPUR – Kerajaan akan berbincang dengan Majlis Fatwa
Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa berhubung hukum bagi mereka yang
terbabit dengan kegiatan kumpulan militan.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil
Khir Baharom berkata, sebelum fatwa itu dikeluarkan, satu kajian
terperinci perlu dilakukan bagi melihat kesesuaian fatwa berkenaan.
“Nanti kita tengok… kita akan bincang dengan Majlis Fatwa Kebangsaan
(untuk mengeluarkan fatwa), tengok kesesuaian, sesuai atau tidak,”
katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Sehingga kini tiada fatwa rasmi daripada Majlis Fatwa Kebangsaan
tentang hukum terhadap rakyat Malaysia yang menyertai kegiatan militan.
Bulan lepas, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dipetik
oleh media sebagai berkata, istilah jihad tidak sesuai untuk digunakan
dalam konteks isu di Syria kerana ia melibatkan konflik sesama Islam dan
adalah tidak adil untuk mengisyhtiharkan pihak yang ditentang itu
sebagai bukan Islam.
Polis pula baru-baru ini telah menahan 19 rakyat tempatan yang
dipercayai terbabit dalam kumpulan militan dan mempunyai hubungan dengan
militan di luar negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini dipetik
sebagai berkata, polis masih memburu lima individu kerana terbabit
dengan kegiatan militan di luar negara.
Mereka ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya
(UM), Dr Mahmud Ahmad, 35, pemilik kedai photostat dan alat tulis yang
dikatakan beroperasi di UM, Mohd Najib Husen, Muhammad Joraimee Awang
Raimee, 39, dan dua penduduk Tawau, Sabah, iaitu Mohd Amin Baco, 30, dan
Jeknal Adil.
Jamil Khir berkata kerajaan juga akan menyiasat dakwaan kononnya
anggota militan terbabit mempunyai kaitan dengan kumpulan tabligh
tertentu di negara ini.
Sumber: BERNAMA
Sumber: BERNAMA