Pertemuan dalam satu majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, semalam tidak membincangkan isu
luar biasa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, perjumpaan itu tidak lebih didasari atas
rasa hormat dengan kapasiti kepimpinan masing-masing di peringkat negara
dan negeri.
“Tidaklah. Dia kata dia hadir menghormati saya sebagai ketua kerajaan
peringkat pusat dan saya hormati dia sebagai ketua kerajaan peringkat
negeri.
“Tiada apalah. Saya tak pelawa dia masuk Umno,” katanya pada satu sidang media di Menara Dato Onn hari ini.
Najib semalam mengakui boleh berkerjasama dengan Khalid walaupun berbeza fahaman politik.
Menurut laporan media, Najib berkata: “Walaupun ada perbezaan, kita boleh bekerjasama dalam banyak hal.”
Najib berkata demikian ketika mengucapkan terima kasih kepada Khalid
kerana menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat Selangor anjuran
pejabat Pembangunan Persekutuan
Selangor di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong, Shah Alam, petang semalam.
Kira-kira 2,000 rakyat Selangor menghadiri majlis itu yang disusuli dengan solat Maghrib, Isyak dan terawih.
Najib berkata pertemuannya bersama Khalid bukanlah satu pertemuan
tertutup dan khas malah ramai lagi umat Islam yang menyertai majlis
berbuka puasa berkenaan.
“Empat mata? Ribuan orang ada situ. Tidak. Ribu mata adalah,” katanya berseloroh kepada wartawan.
Sejak beberapa bulan lalu, Khalid menerima tekanan daripada pelbagai
pihak termasuk pemimpin PKR supaya melepaskan jawatan sebagai Menteri
Besar Selangor.
Hasrat “Langkah Kajang” yang dilihat gagal menjatuhkan Khalid sebelum
ini, kembali berlaku dalam PKR terutama selepas beliau gagal
mempertahankan kerusinya sebagai Ketua Cabang PKR Kuala Selangor pada
pemilihan parti itu baru-baru ini.
Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 di negeri itu.
Sumber: Mynewshub.my