Janji Abdul Khalid Kepada Sultan Selangor?


Kuala Selangor, 24 Julai – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjanji kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar selagi khitmatnya masih diperlukan oleh rakyat Selangor.

Abdul Khalid berkata, Sultan Sharafuddin telah bertitah kepadanya baginda mahukan kerajaan negeri Selangor di tadbir oleh seorang pemimpin yang boleh dipercayai, tegas serta bertanggungjawab.

"Saya maklumkan kepada Tuanku Sultan bahawa saya akan bertugas sehinggalah saya tidak lagi menjadi menteri besar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama Sultan Selangor di masjid Kampung Assam Jawa dekat sini semalam.

Dalam satu sidang media semalam, Ketua Umum Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata beberapa pemimpin tertinggi parti itu telah sebulat suara bersetuju melantik isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan Presiden PKR sebagai calon mengantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Pengumuman ini jelas membuktikan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar akan digugurkan dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Tuanku Sharafuddin telah mencemar duli bagi merasmikan pembinaan masjid di Kampung Assam Jawa yang bernilai RM3 juta dengan keluasan 8,000 kaki persegi dan mampu memuatkan 1,000 jemaah pada satu-satu masa. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor