Jawatan MB Bukan Milik Individu - Anwar Ibrahim

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan jawatan menteri besar Selangor bukan milik individu, tetapi untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu dilakukan secara konsensus.

Anwar berkata, jawatan tersebut adalah mandat yang diberikan menerusi rakyat dan parti.

"Ini bukan kerusi peribadi tetapi mandat yang diberikan daripada rakyat dan parti," kata Anwar semasa mengadakan pertemuan dengan kumpulan masyarakat sivil di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, sebarang usaha menggantikan Khalid perlu dilakukan secara bersama dengan parti dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Dalam konteks PR, kita perlu bincang dan mendapat persetujuan DAP dan PAS," kata Anwar.

Anwar juga mengakui kontroversi yang tidak berpenghujung tersebut memberi kesan kepada pentadbiran dan pembangunan negeri, khususnya dalam melihat isu lebih besar.

"Isu berlarutan ini menghalang pembangunan dan kemampuan untuk fokus kepada isu lebih besar," kata beliau.

Beliau juga berharap agar kemelut jawatan penting negeri terkaya tersebut dapat diselesaikan dengan segera.

Pentadbiran Khalid menerima tamparan hebat selepas diberi mandat penggal kedua, khususnya dalam isu melibatkan rampasan Bible, pembinaan lebuh raya dan air.

Sementara itu, bekas pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan dalam majlis yang sama, menyatakan kebimbangan dengan perkembangan yang berlaku di Selangor.

"Kami sangat bimbang dengan apa yang berlaku di Selangor. Ia sangat kucar-kacir," kata Ambiga.

Desas-desus mengenai kedudukan Khalid diperkatakan kembali, terutama selepas beberapa kritikan terbuka pemimpin PR pentadbirannya.

Khabar angin tentang peletakan jawatan Khalid juga menyebabkan wartawan terpaksa berkampung di depan Istana Selangor baru-baru ini selepas ura-ura mengatakan beliau akan meletak jawatan.

Bagaimanapun, Khalid berkata semalam beliau tidak bimbang jika wujud usul undi tidak percaya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PR sendiri.

Sumber: TMI