Kaki Ponteng Jadikan Premis Makanan Bukan Islam 'Port' Untuk Makan


Alor Setar, 7 Julai – Umat Islam yang tidak berpuasa sanggup jadikan gerai atau premis makanan bukan Islam sebagai tempat mereka untuk makan bagi mengelakkan diri dicekup oleh pihak berkuasa.

Golongan yang digelar sebagai kaki ponteng puasa didakwa sanggup berada dalam suasana yang tidak selesa mahu pun dalam keadaan yang tidak bersih asalkan mereka dapat menjamu selera tanpa perlu bimbang kedatangan penguatkuasa.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata, pihaknya telah mengesan beberapa kaki ponteng menggunakan premis makanan bukan Islam sebagai tempat atau port untuk makan bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa.

 “Taktik ini digunakan bagi mengelakkan diri mereka dicekup pihak penguatkuasa kerana tidak menjalankan ibadah puasa.

“Disebabkan tidak boleh menjamah makanan di khalayak ramai, mereka tidak berpuasa sanggup mengambil jalan mudah membeli makanan di kedai bukan Islam,” katanya.

Menurutnya lagi, golongan ini sanggup menjadikan kedai bukan Islam sebagai lokasi sementara mereka untuk tidak berpuasa kerana kebanyakkan kedai Islam di negeri ini tidak dibuka sejajar dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri Kedah.


"Ketika ditahan, kebiasaannya golongan kaki ponteng puasa memberi alasan tidak larat, sakit ataupun lebih mengecewakan, mendakwa diri sebagai bukan Islam," katanya.

Namum begitu, pihaknya kini sedang merancang beberapa strategi bagi menangkap golongan ini sekaligus mencapai matlamat yang ditetapkan kerajaan negeri agar semua kaki ponteng dihapuskan sepanjan bulan ramadhan ini.

Ahmad Faisol berkata, beberapa Bandar besar termasuk Kota Setar, Kubang Pasu, Kuala muda dan Langkawi telah dikesan menjadi lokasi tumpuan kaki ponteng berbanding pekan kecil seperti Yan.

Daripada pemerhatian yang dibuat, golongan ini selalu menjadikan tapak pembinaan,tempat kerja, kawasan hutan ataupun kedai makanan sebagai lokasi untuk mereka makan.

"Ada juga peniaga dikesan menjual makanan kepada kaki ponteng di kediaman sendiri dan bonet kenderaan bagi mengaburi mata umum," katanya lagi

Dalam pada itu, mereka yang memperolehi pendapatan daripada penjualan makanan kepada golongan kaki ponteng tetap dikategorikan sebagai haram.

Justeru, katanya, sesiapa dikesan melakukan kesalahan tidak menghormati bulan puasa dengan menjual atau makan di khalayak ramai akan didakwa mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 Seksyen 14.-KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor