KOTA KINABALU – Anggota keluarga
Konstabel Zakia Aliep, 26, yang dipercayai diculik kumpulan lelaki bersenjata
di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna malam tadi terkejut dengan kejadian
itu.
Mereka merasa sedih lebih-lebih
lagi beliau baru memperoleh cahaya mata kira-kira tiga bulan lalu.
Majlis doa selamat untuknya
diadakan pagi tadi.
Abangnya Zakria, 31, berkata
beliau mendapat berita mengenai kehilangan adiknya daripada rakan-rakannya pada
pukul 4 pagi tadi selepas bersahur.
“Selepas rakan-rakan memberitahu
ada insiden serang hendap di Pulau Mabul dan adik saya hilang, saya menghubungi
isterinya yang memberitahu adik saya tidak pulang ke rumah.
“Saya turut menghubungi Balai
Polis Semporna untuk bertanyakan tentang perkembangan pencarian adik saya,”
katanya kepada Bernama.
Zakria berkata petang ini beliau
dan ibu bapanya serta beberapa orang saudara mara akan bertolak dari kampung
mereka di Tenghilan, kira-kira 45 kilometer dari Kota Kinabalu untuk ke
Semporna bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai adiknya di samping
menemani isteri dan anak Zakia yang berada di Semporna.
Zakia dipercayai diculik ketika
sepasukan anggota Polis Marin diserang hendap sekumpulan lelaki bersenjata di
sebuah resort di Pulau Mabul pada pukul 11.10 malam. Seorang lagi anggota Polis
Marin, Koperal Rajah Jamuan terbunuh.
Menceritakan mengenai adiknya,
Zakria berkata Zakia merupakan antara yang pertama memohon untuk berkhidmat di
Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Beliau berkata selepas Kawasan
Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom) ditubuhkan susulan pencerobohan
pengganas Sulu di Lahad Datu, adiknya tidak berfikir panjang untuk membuat
permohonan bertugas di ESSZone.
“Masa itu permohonan dibuka
kepada mana-mana anggota keselamatan yang berminat untuk berkhidmat di bawah
ESSCom. Adik saya melihat ia juga sebagai peluang untuk pulang dan berkhidmat
di negeri kelahirannya,” katanya.
Zakria berkata adiknya ketika itu
bertugas di Pulau Pinang dan menambah adiknya memang bercita-cita menjadi
anggota polis sejak kecil dan menyertai Polis Marin sejak 2010.
Sementara itu di Tawau, mayat
Rajah dijangka dibedah siasat di Hospital Tawau pada pukul 4 petang ini sebelum
dikebumikan di Batu 3, Semporna esok.
Jenazahnya tiba di Hospital Tawau
pada 12.25 tengah hari tadi dengan ditunggu anggota keluarganya.
Sumber: BERNAMA