Keluhan Ibu Pramugara #MH17: Tiada Lagi Sambal Kacang Perut Lembu...



“Tahun ini, tidak ada hias-hias, tidak ada kuih. Kita sambut ala kadar dengan apa yang ada sahaja,” kata Amna Mohd Sharif, 65, ibu kepada pramugara Shaikh Mohd Noor Shaikh yang maut dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 terhempas.

Menurutnya anaknya yang mesra dengan panggilan Mad Noor itu sepatutnya beraya dengan mereka di Klang tahun ini.

“Dia amat menggemari sambal kacang dan akan meminta saya memasak sambal kacang bersama perut lembu setiap kali Aidilfitri.

“Kalau tidak ada benda itu, arwah kata tidak sah beraya dan dia kalau makan sambal kacang, semangkuk penuh mesti habis.

“Kalau setiap kali beraya, selepas berjumpa dengan mak cik, pak cik dan adik-beradik, dia akan ambil bantal dan tidur. Bila diajak untuk beraya ke rumah saudara-mara, dia kata lain kali lah, sebab dia nak rehat,” katanya kepada Bernama mengimbas kenangan bersama anak sulungnya itu.

Shaikh Mohd Noor yang mempunyai lima orang anak termasuk seorang anak tiri juga dikatakan sempat meninggalkan klip suara nyanyiannya lagu ‘Dendang Perantau’ menerusi aplikasi WhatsApp, dendangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Bila mak cik hayati balik lirik lagu tu, mak cik reda dengan ketentuan Allah. Dia pergi dalam bulan yang baik,” kata Amna.

Mereka sekeluarga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas usaha dan kerja kerasnya untuk membawa pulang jenazah rakyat Malaysia.

“Walau dalam keadaan apa sekali pun, mak cik harap sangat jenazah anak mak cik dapat dibawa pulang supaya nanti mak cik dapat ziarah kubur arwah selalu,” kata Amna.

Shaikh Mohd Noor adalah antara 43 warga Malaysia yang terkorban dalam nahas itu.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila terhempas di Donetsk, timur Ukraine.

– BERNAMA