Ohio, Amerika Syarikat, 6 Julai – Pasangan kembar siam dari Ohio kini
menghitung hari untuk dinobatkan sebagai pasangan kembar siam yang hidup paling
lama.
Donnie dan Ronnie Galyon akan berusia 62 tahun, lapan
bulan dan tujuh hari pada hari ini, sekali gus mengatasi usia Eng dan Chang
Bunker, kembar siam terkenal abad ke-19.
Adik pasangan itu, Jim Galyon berkata, kedua-dua abangnya
sering bercakap mengenai perkara itu.
Dia sudah merancang untuk mengadakan sambutan paling
meriah untuk meraikan kejayaan abangnya itu.
“Mereka sudah sekian lama menghitung hari, termasuk
menanda kalendar, untuk meraikan saat bersejarah ini,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, apa yang mereka inginkan ialah pengiktirafan
daripada Buku Rekod Dunia Guinness dan segala-galanya akan menjadi kenyataan
pada bulan Oktober depan apabila mereka berusia 63 tahun, mengatasi rekod
pasangan kembar siam yang berasal dari Itali, Giacomo and Giovanni Battista
Tocci.
Ronnie ketika ditemu bual pemberita baru-baru ini
berkata, sudah menjadi impian mereka sejak kecil lagi untuk mengatasi rekod
berkenaan di samping tidak sabar untuk melihatnya menjadi realiti.
Kembar berkenaan yang bercantum pada bahagian badan kini
tinggal bersama adiknya Jim dan isteri di Beavercreek.
Pasangan berkenaan menjaga kedua-dua abangnya sejak empat
tahun lalu.
Malah, penduduk tempatan turut sama membantu mengubah
suai kediaman untuk memudahkan kehidupan keluarga itu.
Donnie dan Ronnie pernah menyertai pertunjukan sarkas
sebelum bersara pada 1991 dan kini banyak menghabiskan masa di atas katil khas.
Sumber : Agensi