Kemeriahan Bazar Ramadhan Stadium Darul Aman Penuh Warna Warni..


Bila sebut bulan Ramadhan semua orang pasti akan bercakap mengenai kemeriahan bazar yang mereka telah kunjungi untuk membeli juadah untuk berbuka.

Semalam, KedahNews.com berkesempatan mengunjungi sebuah bazaar yang dianggap antara terbesar di negeri Jelapang Padi, Kedah Darul Aman.

Bazar yang dimaksudkan ialah Bazar Ramadhan Stadium Darul Aman yang terletak di Alor Setar. Bazar ini boleh dikategorikan sebagai sebuah bazaar yang paling meriah, besar dan tersesak di Kedah.

Boleh anda semua bayangkan KedahNews.com perlu menunggu hampir 30 minit untuk mendapatkan parking (tempat letak kereta) di sini.









Daripada tinjauan kami, banyak pengusaha makanan dan restoran terkenal membuka gerai di sini.

Bukan itu sahaja, terdapat juga makanan daripada negeri-negeri luar seperti otak-otak, nasi dagang, bakso dan pelbagai kuih muih yang pasti membuat anda teruja untuk menikmati semua makanan yang berada di sini.


Masih ingatkan anda mengenai laporan media berkenaan Gerai Minuman Teh Bunga  yang menjadi tumpuan pengunjung pada tahun-tahun sebelum ini? 

KedahNews.com berpeluang melihat suasana gerai berkenaan yang terletak di bahagian belakang bazar dan keadaannya masih seperti tahun sebelumnya, di mana pengujung bazar perlu beratur untuk membeli minuman tersebut.

Berkemungkinan gerai ini dipindahkan ke bahagian belakang agar tidak menganggu gerai bersebelahan yang boleh menganggu jualan mereka.




KedahNews.com juga ada membuat satu rakaman video mengenai seorang warga emas yang kurang upaya (OKU) bermain piano dan menyanyi untuk mencari pendapatan.

Kami beri tabik hormat kepada warga emas itu kerana dia mencari sumber pendapatan dengan kudrat dan bakat yang Allah SWT berikan dan tidak seperti masyarakat yang lain terus mengemis tanpa melakukan sebarang usaha.

Selain itu, KedahNews.com turut melihat kelibat beberapa anggota penguatkuasa Kesihatan yang membuat pemeriksaan di setiap gerai bagi memastikan setiap pemilik gerai makanan mempunyai lesen yang sah serta telah disuntik oleh pihak kesihatan sebelum membuka gerai makanan.

Dari pemerhatian kami, terdapat beberapa gerai yang hanya dibuka selepas pihak berkuasa itu selesai menjalankan tugas mereka.

Adakah mereka tidak mematuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak kesihatan? Sekiranya tidak bagaimana mereka boleh mendapat tapak gerai di sana?

Semua itu kami tidak dapat beri penjelasan yang jelas dan diharap selepas ini pihak berkuasa perlu memberi lebih perhatian terhadap pemasalahan ini.

InsyaAllah, KedahNews.com akan menyiarkan berita mengenai kemeriahan bazar Ramadhan yang berada di Kedah sepanjang bulan yang mulia ini. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor