Alor Setar, 9 Julai - Kerajaan Kedah
menegaskan akan sentiasa memantau pergerakkan pusat tahfiz Amal sekitar daerah
Kuala Kedah-Yan yang menjalankan kegiatan mengutip derma menerusi para
pelajarnya di beberapa negeri lain.
Menerusi sumber yang
KedahNews.com perolehi, pusat tahfiz berkenaan sudah diarahkan untuk ditutup
oleh Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (JAIK) pada 10 Febuari yang lalu kerana
beroperasi tanpa berdaftar serta menggunakan para pelajar untuk mengutip derma.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal
Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan negeri
Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, pihaknya mendapat beberapa aduan mengenai pusat
tahfiz tersebut telah menghantar pelajarnya ke negeri lain seperti di Lembah
Klang, Perak dan Johor.
"Jaik tidak ada kuasa untuk
tangkap pelajar tersebut di negeri lain, tetapi polis ada kuasa untuk tangkap
pelajar bawah umur yang dipaksa oleh sekolah mereka mengutip derma dari orang
ramai.
"Kita sentiasa pantau
pegerakan mereka ini. Di sekitar negeri ini sudah tidak berlaku kegiatan mengutip
derma oleh pelajar tetapi mereka bergerak ke negeri lain," katanya kepada
pemberita pada Majlis Berbuka Puasa bersama Tourism Malaysia Kedah di sini
semalam.
Mohd Rawi berkata, pihak kerajaan
negeri memberi amaran untuk mengambil tindakan yang lebih tegas sekiranya pusat
tahfiz ini masih melakukan kegiatan berkenaan di negeri Kedah.
Menurutnya lagi, pengurusan
tahfiz tersebut ada mengemukan rayuan agar diberi kebenaran untuk beroperasi
kembali tetapi permohonan itu telah ditolak kerana pusat berkenaan telah
melanggar beberapa peraturan walaupun telah diberikan beberapa amaran sebelum
ini.
"Jaik keluarkan notis arahan
penutupan pusat tahfiz itu mengikut prosedur yang betul," katanya lagi.-KedahNews.com/Mohd
Shahir Shukor