Kerana mulut badan binasa, ramai yang ingat macam mana celuparnya Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mempertikaikan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) 16 Jun lalu.
Pada Selasa, Sultan Selangor bertitah beliau kecewa dengan kenyataan
Khalid itu dan ramai yang menafsir titah sultan itu sebagai ‘tuanku
murka’.
Berikutan itu juga MP Shah Alam yang terkenal dengan kelancangan mulutnya itu juga bakal dipanggil polis dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
berkata, wakil rakyat PAS itu akan disiasat di bawah Akta Hasutan kerana
mempersoalkan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan
mencadangkan kuasa eksekutif pihak berkuasa agama itu ditarik balik.
“Ya benar, kami sedang menyiasat perkara itu, dan akan memanggil
beliau bila-bila masa,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Op
Selamat 5 sempena Hari Raya Aidilfitri di Menara Telekom Malaysia (TM).
Pada Khamis, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
secara sinis menganggap Khalid sebagai seorang pemimpin yang tidak
memahami adab dan tatatertib untuk mengemukakan sesuatu cadangan
berkaitan pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau berkata, Khalid sepatutnya tahu cara untuk mengemukakan
cadangan atau pandangan mengenai sesuatu perkara kepada kerajaan negeri
mengikut lunas undang-undang serta konsep pemerintahan beraja sedia ada.
“Saya fikir, baik dalam soal memelihara ketenteraman atau kejayaan
sesebuah pengurusan, kita bukan hanya perlu mematuhi lunas undang-undang
semata-mata. Adab dan tatatertib juga perlulah diutamakan.
“Mungkin kita merasakan idea, pandangan dan cadangan kita itu betul
tetapi cara penyampaian atau penyalurannya haruslah dibuat dengan cara
yang tertib dan terbaik supaya apa yang kita cadangkan itu dapat
dilaksanakan sebaik-baiknya,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menasihatkan semua anggota
pentadbiran kerajaan negeri termasuk ADUN dan Ahli-Ahli Parlimen supaya
bersikap matang selain mengambil kira kepentingan rakyat dalam membuat
sebarang keputusan.
“Dalam senario di Malaysia, kita ada monarki berperlembagaan dan kita kena ambil kira perkara itu,” ujarnya.
15 Julai lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
melahirkan rasa amat kesal dan kecewa dengan Khalid Samad dalam titahnya
semasa merasmikan Majis Pekan Sepang.
Baginda menyifatkan tindakan Khalid mencadangkan supaya Kerajaan
Selangor menghapuskan kuasa eksekutif MAIS seolah-olah menunjukkan sikap
biadap dan penentangannya kepada kuasa baginda sebagai ketua agama
Islam.
Titah baginda, ini bukan kali pertama Khalid mempersoalkan isu
berkaitan kuasa eksekutif MAIS seta Enakmen Pentadbiran Agama Islam
Selangor yang dianggapnya sudah lapuk.
“Kenyataan Khalid itu ternyata menunjukkan beliau jahil tentang
peranan MAIS yang diwujudkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor
sebagai penasihat dan membantu beta dalam menjalankan kuasa beta sebagai
ketua agama Islam di Selangor.
“Khalid bukannya anak jati Selangor namun telah berpeluang menjadi
Ahli Parlimen di Selangor sepatutnya mengambil langkah untuk
melengkapkan diri memahami sejarah negeri Selangor,” titah baginda. –
Agendadaily.com