Khalid Sahkan Konstabel Zakia Hubungi Isteri, Beritahu Telah Diculik


Kota Kinabalu, 14 Julai – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan anggota polis marin yang diculik dalam serangan di Pulau Mabul Sabtu lalu, Konstabel Zakia Aliep telah menghubungi isterinya, Sharifah Erna Beson semalam.

Khalid mengesahkan perkara itu setelah dihubungi media hari ini apabila terdapat beberapa laporan di laman sosial yang kini menyebarkan maklumat mengenai keadaan anggota marin berkenaan.

“Dalam perbualan singkat itu, Zakiah dilaporkan memberitahu isterinya dia kini berada dalam tawanan kumpulan penculik bersenjata, namun tidak menyatakan lokasi dia berada,” kata Khalid ketika dihubungi Berita Harian, sebentar tadi.

Konstabel Zakia, 26, telah diculik oleh kumpulan pengganas yang telah melakukan serangan hendap di sebuah pusat peranginan Pulau Mabul, perairan Semporna, malam kelmarin.


Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, kedua-orang anggota yang sedang melakukan rondaan telah diserang hendap sekumpulan lelaki dan berlaku tembak menembak antara mereka sehingga menyebabkan rakan Konstabel Zakia, Koperal Ar Rajah Jamuan, 26, telah terbunuh susulan terkena tembakan dari kumpulan dipercayai pengganas. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor