Kini, wanita yang dikenali sebagai Kiki Kamaruddin
sedang diserang bertubi-tubi di laman sosial di Facebook, Twitter dan
juga YouTube.
Di twitter, kisah Kiki juga sedang trending atau popular di Twitter
Malaysia dengan tweet menggunakan hashtag #CDM25 sudah pun mencecah
127,000 tweet.
Semalam, Kiki dirakam mengamuk dengan teruk ke atas seorang lelaki warga emas di Kuantan termasuk memukul kereta lelaki itu dengan menggunakan pengunci stereng.
Lelaki berkenaan, Sim Siak Hong, 67 tahun yang merupakan seorang
pesara pada mulanya terlanggar bahagian belakang sebelah kiri kereta
Kiki sehingga membuatnya mengamuk sakan.
Kini, selepas mengakui bahawa perbuatannya itu terlanjur dan tidak
sesuai, barulah Kiki beriya-iya meminta semua pihak yang mempunyai rakaman aksi berkenaan agar memadamkannya.
“Saya sudah membaca semua tweet berkenaan, saya terima kritikan anda dan saya mengaku saya salah.
“Ada ketikanya kita harus belajar memaafkan orang lain, saya mahu orang ramai memadamkan video berkenaan.
“Tolong hormati privasi saya dan cuba bayangkan jika keadaan
yang sama berlaku kepada keluarga anda,” katanya meminta belas orang
ramai.
Bagi pengguna laman sosial dan juga laman portal berita, pastinya
permintaan Kiki tidak akan dilayan sebaliknya video berkenaan ketika ini
masih lagi rancak dikongsikan antara pengguna Facebook.
Rata-rata komen yang diberikan mereka ialah, Kiki sepatutnya bersedia
menerima akibat apabila mengamuk dengan cara yang melampau sebegitu di
khalayak ramai, pada mereka, ‘berani buat berani tanggung,”.
Ada juga yang menempelak Kiki, tidak berfikir dahulu sebelum
bertindak melulu mengherdik Sim dengan kata-kata kesat dan juga
mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman.
Orang ramai pula tidak mahu memadamkan video berkenaan sebagai satu
pengajaran kepada Kiki agar tidak mengulangi kesilapan yang sama apabila
berdepan situasi sama kemungkinan nanti.
Sumber: MYNEWSHUB.MY