Kita Semua Akan Ke Sana, Itu Pasti..!

Dari Abu Sa'id ra katanya: “(Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke tempat solatnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa. Baginda SAW pun menegur mereka dengan bersabda:
Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitulah maut, kerana sesungguhnya pada tiap-tiap hari kubur menyeru, akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dengan tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat.”

Maka apabila hamba Allah SWT yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya:
“Dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau – kepada ku – sekasih-kasih orang yang berjalan atas ku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu. Kubur itu pun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke syurga, (lalu datang kepadanya sebahagian dari bau syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan berasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam syurga itu).

Kubur mengepit

Dan sebaliknya apabila orang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya:
“Tidak layak engkau disambut dan dipersilakan; ketahuilah sebenarnya engkau – kepada ku – adalah sebenci-benci orang yang berjalan atasku; oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepada aku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu.”
Nabi Muhammad SAW bersabda lagi:
“Kubur itupun mengepitnya sehingga berselisih tulang rusuknya.”
Kata perawi hadis ini: Nabi Muhammad SAW (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu Baginda SAW) memasukkan jari-jari sebelah tangannya di celah jari-jari yang sebelah lagi, kemudian Baginda SAW bersabda lagi:
“Dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi nescaya tidak akan tumbuh sesuatu pun daripada tumbuh-tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud, kemudian ular-ular itu akan mematuk-matuknya dan melukakannya sehingga dia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)”. 
Kata perawi hadis ini: Nabi SAW bersabda lagi:
“Bahawa sesungguhnya kubur itu adalah sebuah taman dari taman-taman Syurga atau sebuah gaung-gaung neraka.”


Sumber: Berita Harian