Krisis MB Selangor: PKR Cuba Nafikan Hak PAS Sekali Lagi

Parti Keadilan Rakyat (PKR) seolah-oleh begitu gelojoh apabila cuba "menjolok" nama dua calon dari partinya untuk menggantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, yang bakal "digulingkan" tidak lama lagi.

Adun Batu Caves, Amirudin Shari, semalam mendedahkan pada media bahawa Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Azmin Ali, adalah dua nama yang disebut-sebut bakal  merampas kerusi yang sedang disandang Khalid.

Meskipun begitu katanya, "coup de tat" yang bakal terjadi di Selangor itu perlu disusun dengan teliti dan berhati-hati memandangkan sebarang perubahan drastik yang melibatkan pemimpin tertinggi sesebuah kerajaan itu memerlukan penyesuaian terbaik dari kepimpinan yang baru.

"Kita takut salah pandang jika tergesa-gesa dan ia mendatangkan risiko PR pada Pilihan raya Umum ke -14 akan datang. 

"Adun dan ahli parlimen sedang bincang termasuk juga akar umbi sama ada penentuan kekal atau tidak. Ia dalam proses dan tak perlu tergesa-gesa kerana banyak perkara wajar dipertimbangkan masak-masak, gesaan saya cuma keputusan ini perlu dibuat,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian semalam.

PAS memiliki kelebihan satu kerusi DUN di Selangor berbanding PKR, namun parti-parti Pakatan Rakyat itu sebelum ini memilih Adun dari PKR untuk dijadikan Menteri Besar Selangor dipercayai setelah mendapat sokongan dari pihak DAP serta Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mendedahkan bahawa krisis kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor itu akan diselesaikan pucuk pimpinan ketiga-tiga parti gabungan, PAS, PKR dan DAP dalam masa terdekat.

Mustafa bagaimanapun berkata, keputusan akhir mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor bakal dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat dan akan cuba dimuktamadkan secepat mungkin, sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Kita mengharapkan sebelum raya akan ada satu mesyuarat Majlis Presiden, dan mungkin salah satu isu yang akan dibincangkan adalah isu MB Selangor,"kata Mustafa yang dipetik dari sidang media yang berlangsung di ibu pejabat PKR di sini, semalam.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung PAS itu menegaskan bahawa apa-apa perkara berkaitan khususnya berhubung kemelut melibatkan kemelut yang sudah menjadi "rahsia umum" itu mestilah dilakukan bersama-sama menerusi Majlis Presiden.

"Isu yang melibatkan pimpinan tertinggi, kita ada Majlis Presiden, kita berpandukan kepada Majlis Presiden. Kita tidak ada pandangan sendiri,"jelas Mustafa yang dipetik dari Harakahdaily. -KedahNews.com