KUIN Disaran Lakukan Transfomasi – Muhkriz


Alor Star, 1 Julai – Kerajaan Negeri Kedah menyarankan  Kolej Insaniah (KUIN) agar melakukan transformasi supaya kekal relevan sebagai sebuah institut pengajian tinggi (IPT) yang unggul di samping dapat membantu pembangunan di kalangan masyarakat.

Menteri Besar Kedah, Dato’Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, KUIN perlu menjadikan universiti Islam di luar negara sebagai satu teladan seperti di negara Mesir yang sudah wujud sekian lama namum masih beroperasi dengan berjaya.

“Seperti universiti di Mesir walaupun sudah wujud sejak lebih 1,000 tahun lalu, namun ia masih beroperasi kerana telah membuat perubahan sejak zaman berzaman mengikut kehendak waktu.

“Dari semasa ke semasa, perlu membuat transformasi, apa yang ditawarkan untuk pelajar mestilah mengikut kesesuaian zaman,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama warga KUIN di Kampus Mergong dekat sini, malam tadi.

Menurut Mukhriz, pensyarah yang telah dilantik haruslah mempelbagaikan cara pembelajaran agar ia dapat menarik minat para pelajar seiring dengan peredaran masa kini.

“Kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan apa yang berlaku di Kuin. Saya sarankan biarlah kita sentiasa berlari-lari ke hadapan, menuju kejayaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Rektor KUIN, Prof Dato’ Mohd Yusof Kasim menegaskan kajian perlu dilakukan oleh pihak universiti kerana kadar kemasukan pelajar di KUIN menunjukkan ia semakin menurun sejak tahun 2009.
“Walaupun jumlahnya tidaklah teruk sangat, tapi kita tidak boleh berpuas hati. Kita perlu mengubah trend ini paling lewat pada 2015 kerana kelangsungan sesebuah IPT bergantung kepada bilangan pelajarnya.

“Tidak guna jika kita mempunyai pensyarah yang hebat sekiranya tidak ada pelajar, jadi apa sahaja kerja kita kena lakukan yang terbaik kerana ada kepentingan ummah di sini iaitu memperjuangkan pendidikan Islam,” katanya.

Mohd Yusof berkata, pihak KUIN perlu mempertingkatkan usaha bagi menaikkan nama universiti ini agar setanding dengan IPTA yang sedia ada di negara Malaysia. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor