KUIN Jalin Kerjasama Dengan 3 Universiti Indonesia

Mohd Yusof (tengah) bersama wakil daripada tiga universiti dari Indonesia.

Alor Setar – Kolej Universiti Insaniah (KUIN) telah menyahut saranan kerajaan negeri untuk melakukan transformasi bagi meningkatkan taraf dan mutu pendidikan di kolej itu apabila bertindak menjalinkan kerjasama  dengan beberapa universiti terkemuka negara jiran, antaranya Indonesia.

Rektornya, Prof Datuk Mohd Yusof Kasim berkata, pihak kolej sangat yakin perjanjian kerjasama di antara universiti terkemuka di negara jiran merupakan satu langkah yang baik bagi memperkemaskan serta mengembangkan KUIN sekaligus dapat meningkatkan mutu akademik khususnya bidang pengajian Islam (Syariah) yang menjadi teras kepada semua institut pengajian tinggi (IPT) yang terlibat.

“Kuin sentiasa membuka dan mencari ruang kerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi luar negara demi memajukan dan meningkatkan mutu pengajian”, katanya.

Sementara itu, Mohd Yusof telah hadir mewakili KUIN, dalam menandatangani perjanjian kerjasama dengan tiga buah universiti tersohor dari Indonesia iaitu Universitas Islam Kadiri (UNISKA), Universitas Tulungagung (UNITA) dan Mandala International Education Services & Leadpreneurship Institute, Indonesia (MELI).

Uniska diwakili Prof Dr Sumarji SP dan Dr Ahsin Daoini; Universitas Tulungagung diwakili Dr Eko Sugiono dan Dr Iswhoro Widyanto; serta Tengku Syahrul Reza dan Noval Novriyansah mewakili MELI.

Wakil MELI, Tengku Syahrul Reza melahirkan rasa bangga apabila KUIN sudi menjalinkan kerjasama pendidikan dua negara berjiran dan dia sangat yakin perjanjian yang telah dibuat akan memberi banyak manfaat dan peluang kepada universiti-universiti yang terbabit.


“Saya percaya kerjasama ini akan memberi kesan yang baik kepada masyarakat umat Islam di negara masing-masing dalam masa panjang,” katanya lagi. –Kedahnews.com/Mohd Shahir Shukor