Kumpul Baju Raya Untuk Anak Yatim Di Kulim

KULIM - BN Youth Volunteer bersama Pemuda Umno Bahagian Kulim Bandar Baharu menganjurkan program mengumpul dan menyerahkan pakaian kepada anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kulim Bandar Baharu, Mahammad Mustafa Kamal Shaikh Ismail berkata, kesemua pakaian yang disumbangkan oleh orang ramai serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dikumpulkan sebelum diagihkan kepada penerima.

Menurutnya, dalam keghairahan umat Islam di seluruh dunia menjalankan ibadah puasa dan membuat persiapan hari raya namun masih ada dalam kalangan penduduk yang tidak berkemampuan.

“Bantuan kepada keluarga miskin atau OKU akan diberikan setiap tahun dan ini menjadi aktiviti ketika Ramadan.

"Sehingga kini ramai dalam kalangan mereka yang tidak berkemampuan menerima pelbagai bantuan dari orang ramai. Ini menunjukkan bahawa masyarakat hari ini cukup prihatin terhadap masalah dihadapi orang lain,” katanya.

Sumber: Sinar Harian