PETALING JAYA – Kumpulan Nasyid
Hijjaz menegaskan mereka tidak mempunyai sebarang agenda atau terlibat dengan
mana-mana kumpulan pengganas yang berhubung kait dengan jihad apabila
menerbitkan klip video terbaharu berjudul Al-Qassam.
Penyanyi utamanya Munif Ahmad
berkata, lagu tentang peperangan itu adalah sebagai memberi semangat kepada
penduduk Gaza yang kini berhadapan dengan serangan Israel dan secara tidak
langsung memberi kesedaran kepada masyarakat negara ini.
“Kami tidak terlibat atau
menyokong mana-mana perjuangan pengganas atau jihad, Al-Qassam merupakan
barisan tentera Islam yang mempertahankan negara mereka di sana.
“Ada segelintir masyarakat yang
tidak faham tentang perkara itu dan menganggap tentera Al-Qassam sebagai
pengganas. Sebenarnya, kami ada buat kajian tentang perkara ini dan mendapati
bukan senang untuk menyertai tentera yang benar-benar berjuang di jalan Allah,”
katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.
Munif berkata demikian ketika
diminta mengulas tentang lagu terbaharu mereka berjudul Al-Qassam yang didakwa
segelintir pihak sebagai menyokong pengganas.
Bagaimanapun, pada Rabu, Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan klip video yang
mendapat perhatian sejak ia dilancarkan beberapa hari lalu itu hanya berunsur
keagamaan.
Klip video yang berdurasi selama
5.35 minit itu juga disiarkan berulang kali di stesen televisyen di Gaza
sebagai memberi semangat kepada pejuang-pejuang serta penduduk Palestin.
Video tersebut juga mencapai
hampir 50 ribu penonton di YouTube sejak ia disiarkan empat hari lalu.
Sementara itu, Munif berkata, ada
beberapa pihak turut mempersoalkan pemakaian uniform dalam klip video tersebut
menyerupai sesebuah angkatan tentera.
Katanya, ia sebenarnya merupakan
baju yang ditaja oleh pihak permainan paint ball dan bukannya pakaian rasmi
mana-mana pasukan keselamatan.
“Kami tidak pakai baju tentera
atau pinjam daripada mana-mana organisasi kententeraan, ia hanya baju permainan
paint ball, ini kerana kami menjalankan penggambaran klip video itu juga di
lokasi permainan paint ball.
“Kami pakai baju itu kerana ia
bersesuaian dengan konsep lagu ini, tak kan pula kami nak pakai jubah untuk
lagu berunsur peperangan,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, sejak
populariti lagu ini meningkat secara mendadak, laman sosial Facebook dan
YouTube kumpulan Hijjaz turut dihujani dengan pelbagai komen termasuk daripada
penduduk Gaza.
Jelasnya, ramai masyarakat luar
negara yang memberi komen positif dan mengucapkan rasa terima kasih kerana
memberi sokongan kepada mereka.
“Kami tidak sangka lagu ini
menjadi viral dan disiarkan di sana, saya bersyukur jika lagu ini dapat memberi
sedikit semangat kepada mereka untuk meneruskan hidup dalam memperjuangkan bumi
Gaza.
“Beberapa hari ini banyak
komen-komen daripada luar negara di Facebook dan Youtube mengucapkan rasa
terharu dan terima kasih mereka,” katanya.
Lagu asalnya berjudul Briged
al-Qassam dinyanyikan oleh Firqat aL-Wa3ed yang menjadi nadi utama pertahanan
di Gaza. Lagu berkenaan diterjemah oleh kumpulan Hijjaz sebagai tanda solidariti
rakyat Malaysia untuk Gaza.
Sumber: mStar Online