Letak Besi Pemisah Atas Bangku Pun Dituduh "Zalim"?

DAP "menyalahkan" Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana seolah-olah "sengaja" memasang besi pada bangku di sekitar ibu negara kononnya telah menyebabkan golongan gelandangan terpaksa menyelit diri di celah bangku untuk tidur.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, dalam tinjauannya ketika turun menyaksikan kehidupan gelandangan di ibu negara, dia melihat sendiri senario tersebut yang disifatkan sebagai "zalim" dan "menyayat hati".

"Saya tidak pernah menyangka senario yang begitu menyayat hati ini akan terjadi di Kuala Lumpur.

"Perbuatan memasang besi-besi ini langsung tidak berhati perut, malah menampakkan betapa zalimnya pihak berkuasa di Kuala Lumpur yang tidak menyantuni golongan yang tidak bernasib baik dan hidup di jalanan." kata wakil rakyat DAP itu yang dipetik dari Malaysiakini, semalam.


Lip Eng menegaskan bahawa dia akan mendesak DBKL supaya menanggalkan semua besi-besi yang terdapat di atas bangku di sekitar Kuala Lumpur supaya dapat memberi ruang yang selesa untuk golongan gelandangan tidur.

“Saya menggesa pihak DBKL menanggalkan besi-besi tersebut serta merta, dan berhenti menzalimi warga miskin kota," kata pemimpin DAP itu lagi.
  
Melihat pada bangku yang dimaksudkan ahli politik DAP itu, ramai berpandangan bahawa DBKL memasang besi pemisah di atas bangku-bangku awam di sekitar ibu negara sebagai pemisah di antara pengguna bangku tersebut.

Selain itu, tidak semua bangku di ibu negara dipasang besi pemisah sebagaimana yang didakwa Lip Eng.

Mungkin DBKL menyediakan bangku-bangku itu bagi kemudahan orang ramai untuk menggunakannya dalam posisi "duduk" dan bukan untuk tidur sebagaimana yang dikehendaki ahli politik DAP itu.

Dan mungkin golongan gelandangan boleh memilih Anjung Kasih yang bakal diwujudkan dalam masa terdekat untuk tidur dan difahamkan jauh lebih selesa berbanding tidur di atas bangku di kawasan terbuka di ibu negara.

Mungkin Lip Eng boleh cari modal lain yang lebih logik untuk "menyerang" DBKL pada masa akan datang... -KedahNews.com