Kuala Lumpur, 22 Julai – Penasihat
DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun
Abdul Razak yang berjaya meminta pemberontak pro-Rusia menyerahkan kotak hitam
pesawat MH17 kepada wakil Malaysia di sana wajar mendapat pujian dan sokongan
rakyat Malaysia.
Justeru itu, Kit Siang berkata,
dia mahu semua rakyat Malaysia bersatu untuk menyokong usaha Perdana Menteri
dan kerajaan Malaysia bagi membantu menyiasat agar pihak yang tidak
bertanggungjawab ke atas tragedi MH17 akan di bawa ke muka pengadilan.
“Bagaimanapun rakyat Malaysia
perlu bersiap sedia untuk tempoh yang lama sebelum tragedi itu dapat
diuraikan,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Usaha dan kesungguhan Najib untuk
mendapatkan kotak hitam pesawat MH17 berhasil apabila puak pemisah akhirnya
bersetuju menyerahkan kedua-dua kotak hitam pesawat yang ditembak jatuh di
Timur Ukraine baru-baru ini.
Melalui satu sumber, penyerahan
kedua-dua kotak hitam itu dilakukan kepada wakil Malaysia di sebuah bangunan kerajaan di
Bandar Donetsk hari ini setelah mendapat persetujuan dari puak pemisah setelah
melakukan 3 jam rundingan dengan delegasi Malaysia. –KedahNews.com/Mohd Shahir
Shukor