Maksud 'Paksaan' Dalam Agama Islam


Banyak kekeliruan ditimbulkan sama ada secara sengaja atau tidak, mengenai persoalan tiada paksaan dalam agama. Masalah ini berlaku apabila mereka yang tiada kefahaman memandai-mandai berbicara mengenai agama hingga menimbulkan pelbagai salah faham kepada masyarakat awam.

Golongan liberal yang mendokong fahaman pluralisme gemar memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 256, yang bermaksud “tiada paksaan dalam agama.” Ayat itu dijadikan hujah agama tidak boleh dipaksakan ke atas sesiapa.

Ayat ini menurut mereka memberi erti bahawa sesiapapun boleh memilih untuk menganuti mana-mana agama ataupun menukar agama dengan sesuka hati. Oleh itu, mereka berpandangan, tidak sepatutnya wujud undang-undang khusus yang menghalang orang Islam murtad atau berkahwin dengan pasangan berlainan agama.

Orang Islam di negara ini, dalam erti kata lain dinafikan kebebasan mereka dalam soal beragama, sedangkan hak itu dijamin dalam ayat di atas. Apakah yang sebenarnya dimaksudkan oleh ayat ini? 

Terdapat tiga persoalan yang perlu dihuraikan iaitu agama, paksaan dan kebebasan.

Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak, menjelaskan ayat itu bukan saja bererti kita tidak boleh memaksakan agama ke atas orang lain bahkan ke atas diri sendiri pun tidak seharusnya ada paksaan kerana agama seharusnya diamalkan dengan sukarela, sungguh hati, tanpa rasa enggan dan benci.

Beliau menghuraikan dengan lebih lanjut bahawa ‘agama’ yang antara lain memberi erti ‘penyerahan’ memungkinkan dua jenis penyerahan yang dibuat secara rela dan yang dibuat secara terpaksa atau enggan.

Ayat di atas menegaskan bahawa Allah tidak menerima penyerahan yang dibuat secara terpaksa atau dibenci.

Walaupun semua agama pada dasarnya mendakwa melakukan penyerahan diri, akan tetapi haruslah kita ingat tidak semuanya melakukannya menurut cara dan kaedah yang dikehendaki Allah.

Di sinilah terletaknya perbezaan paling asasi antara agama Islam dengan agama lain. Islam mendakwa hanya dialah satu-satunya penyerahan yang dimaksudkan manakala agama lain adalah penyerahan yang terpaksa kerana tidak mahu mentaati perintah Allah disampaikan RasulNya. Penyerahan sebegini tidak diterima oleh Allah selama-lamanya.

Jika kita selidiki dan perhatikan, sebahagian daripada apa yang dinamakan agama hanyalah kumpulan ajaran pendeta dan bijak pandai yang lebih layak digelar falsafah, tidak berpandukan kepada ajaran rasul utusan Allah.

Sebahagian lain seperti yang ditunjukkan agama Ahli Kitab, adalah campur aduk antara ajaran rasul terdahulu dengan adat resam, gubahan kaum dan bangsa manusia yang dinamakan kebudayaan.

Kedua-dua bentuk agama tidak boleh dinamakan agama dengan erti kata penyerahan yang rela tanpa paksaan kerana penganut agama berkenaan sebenarnya tidak menyerah diri kepada kehendak Allah sebaliknya mereka mencipta penyerahan tanpa mendapat perakuan dan pengesahan Allah.

Penyerahan sedemikian yang dimaksudkan dengan penyerahan yang terpaksa atau kekufuran disebabkan keengganan menerima kebenaran setelah mengetahuinya sebagai kebenaran.

Maka paksaan yang dimaksudkan dalam ayat ini hanya berlaku kepada penganut agama lain. Paksaan tidak berlaku kepada penganut agama Islam kerana telah nyata ilmu mengenai kebenaran dan kebaikannya berbanding agama lain.

Dengan sebab itu asas kepada akidah Islam adalah ilmu. Setiap Muslim tidak kira lelaki mahupun perempuan diwajibkan menuntut ilmu atas pegangan bahawa manusia berupaya mencapai ilmu mengenai hakikat sesuatu dan berupaya membezakan kebenaran daripada kebatilan.

Pendukung fahaman pluralisme tentu saja akan membantah kenyataan ini kerana mereka sememangnya mengingkari kemutlakan ilmu dan kebenaran. Penafian terhadap kebenaran Islam tidak mungkin dilakukan tanpa terlebih dulu menafikan asasnya, yakni ilmu.

Justeru, kaum pluralis mengajar terdapat lebih daripada satu kebenaran mengenai sesuatu perkara, iaitu mereka mengisbatkan berbilang-bilang kebenaran dan setiap satu adalah sama sah serta sama benar dengan yang lain.

Apabila dikenakan kepada agama, pluralisme menganjurkan agama yang berbagai itu dianggap sama benar, sama tidak lengkap secara bersendirian dan oleh itu masing-masing saling memerlukan demi melengkapi satu sama lain.

Andaian kaum pluralis bahawa agama itu semuanya adalah ciptaan manusia dan oleh itu tiada agama yang lebih baik atau lebih benar daripada yang lain.

Sudah tentu kita membantah tanggapan ini kerana ia tanggapan yang salah datang daripada kejahilan. Agama Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain kerana menyamaratakan agama Islam dengan agama lain hanya menunjukkan kejahilan orang yang melakukannya.


Sumber: Berita Harian