PUTRAJAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)
menyasarkan 200,000 orang akan hadir pada acara Malam Cinta Rasul dan
Doa untuk Malaysia sempena sambutan Kemerdekaan ke-57 dan sambutan 40
tahun penubuhan MAIWP pada 15 Ogos depan, di Dataran Merdeka, Kuala
Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Zainal Abidin Jaffar berkata
MAIWP akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia
(KKMM) dalam menganjurkan acara berkenaan bersempena sambutan
kemerdekaan ke-57.
“Kerjasama itu merupakan perkongsian pintar dan kerjasama Strategi
Lautan Biru Kebangsaan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak,” katanya pada sidang media di Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)
Datuk Abu Talib Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Che Wan
Alias Che Wan Abdullah.
Acara yang dijangka bermula pada pukul 8 malam itu dan dijadual
dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan buat kali pertama disiarkan
secara langsung di TV AlHijrah yang katanya.
“Acara Malam Cinta Rasul kini semakin mendapat tempat di hati umat
Islam dan ia merupakan satu pendekatan dakwah untuk mengajak umat Islam
khususnya golongan muda beragama Islam untuk lebih mendekati, menghayati
dan mendalami ajaran Islam, ia juga mampu menyatu padukan umat Islam
tanpa mengira fahaman politik,” katanya.
Pendakwah terkenal dari Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir Assegaf akan
mengalunkan qasidah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, turut
mengiringi ialah kumpulan nasyid tempatan Inteam, Al-Mawlid dan Anak
Warisan Kedah, kata Zainal Abidin. – BERNAMA