KUALA LUMPUR – Halangan utama bagi Malaysia Airlines (MAS) untuk
kembali meraih keuntungan adalah kesatuan sekerjanya, kata sebuah
kumpulan pemikir utama, Ahad.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi
(IDEAS) Wan Saiful Wan Jan berkata setiap kali usaha dibuat untuk
melakukan pembaharuan atau penyusunan semula syarikat penerbangan itu
bagi mendapatkan semula keuntungan, kesatuan sekerja akan bangkit
menentang kebanyakan daripada cadangan-cadangan yang diusulkan.
“Jadi saya rasa apa yang kita perlu lakukan untuk menjadikan MAS
syarikat yang menguntungkan adalah dengan menjinakkan pengaruh kesatuan
sekerjanya. Mereka agak terlalu berpengaruh, terlalu lantang, terlalu
berkuasa. Ya, harus menghormati hak pekerja kerana hak mereka amat perlu
dihormati.
“Tetapi kuasa kesatuan sekerja kadang-kadang tidak selari dengan
kepentingan syarikat itu sendiri. Ironinya jumlah kakitangan MAS terlalu
besar sedangkan syarikat itu sendiri mengalami kerugian. Biasanya,
sesebuah syarikat akan mengurangkan kos apabila ia tidak mencatatkan
prestasi yang baik,” katanya kepada Bernama.
Wan Saiful juga mengkritik kesatuan sekerja itu kerana keengganannya
untuk berubah, sambil menambah mereka harus menerima perubahan agar
syarikat penerbangan tersebut boleh diselamatkan.
Beliau berkata untuk menyelamatkan keseluruhan syarikat, beberapa
keputusan yang sukar perlu diambil dan sekiranya kesatuan sekerja
berterusan menentang, tidak ada apa yang boleh dicapai.
Apabila diminta pandangannya tentang apakah pokok masalah MAS, Wan
Saiful berkata syarikat penerbangan nasional itu setanding dari segi
menyediakan perkhidmatan terbaik walaupun jika dibandingkan dengan
syarikat penerbangan utama seperti Emirates atau American Airlines
tetapi ia tidak dapat bersaing dari segi harga.
Menyebut satu contoh, beliau berkata bagi penerbangan selama 45 minit
ke Pulau Pinang dari sini, penumpang lebih memilih pilihan yang lebih
murah berbanding MAS kerana mereka tidak kisah jika dihidangkan dengan
sandwic sekalipun kerana mereka boleh bertahan walaupun tanpa meminum
air semasa penerbangan.
Begitu juga, terdapat perbezaan besar beberapa ribu ringgit tambahan
bagi penumpang yang menaiki MAS ke Dubai dari sini berbanding menaiki
Emirates.
“Jadi terdapat kos yang besar, berlakunya persaingan kos yang sengit
dan MAS perlu benar-benar berusaha menanganinya. Saya rasa ini adalah
masalah paling besar, mereka perlu mengurangkan kos dengan ketara tetapi
atas sebab-sebab tertentu ini tidak berlaku,” kata Wan Saiful.
“Juga salah satu daripada perbelanjaan terbesar adalah bagi kos
kakitangan dan dengan kesatuan sekerja menentang keras perubahan itu,
ianya tidak akan berlaku.”
Wan Saiful juga menggesa hubungan antara MAS sebagai sebuah syarikat atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan.
"Ia perlu diputuskan. Apabila anda putuskan, barulah MAS perlu
beroperasi sendiri. Ia tidak boleh lagi bergantung kepada bantuan
menyelamat.
"Jika anda perlu ditutup, anda perlu ditutup dan barulah
kakitangan akan dapat melihat realiti sebenar dan kesatuan sekerja tidak
lagi boleh bermain politik kerana anda kini hanya sebuah syarikat sama
seperti yang lain dan tidak ada orang yang akan melindungi anda lagi.
"Jika anda putuskan hubungan itu, saya rasa akan ada berlaku beberapa perubahan besar," katanya.
Beliau berkata selagi MAS kekal sebagai GLC, kakitangannya akan
merasakan mereka selamat kerana apa juga yang akan berlaku kerajaan akan
sentiasa menyelamatkan mereka.
Wan Saiful berkata isu dalam MAS bukan lagi tentang apa model yang
perlu diguna pakai tetapi sama ada atau tidak terdapat kesungguhan
politik untuk berubah.
“Dan seperti semua yang lain di Malaysia, apabila tiba kepada
kesungguhan politik untuk membuat keputusan sukar, ia tidak akan
berlaku,” katanya. – BERNAMA